Mitos ‘sekolah Cina bagus’

Mengapakah murid Cina hampir tiada di Sekolah Kebangsaan? Satu kajian mesti dilakukan.

Mungkin ia disebabkan taburan penduduk mengikut bangsa kini semakin tidak seimbang. Mana tidaknya, ada yang malah ingin membina projek perumahan yang sudah tentu akan didiami oleh Melayu-Islam sahaja, dengan serba-serbi fasiliti Islami, bertemakan “berjiran dengan enta sampai ke syurga”.

(Baca: “Jiran enta di sebelah bukan Cina, jadi tiada bau minyak masakan babi hinggap di seluar dalam yang tersidai di luar; dan tiada salakan anjing meningkah azan.”)

Asalkan Awang seorang Muslim, tak mengapalah meski Awang memelihara kucing yang berak tiga kali sehari di laman rumah enta.

Kita ambil contoh Bandar Baru Bangi, di mana jumlah penduduk Cinanya amatlah terhad (jangan-jangan sifar). Sekolah Kebangsaan di sini tiada kelihatan anak Cina.

Penempatan sekolah berdasarkan alamat kediaman. Jika ramai penduduk taman perumahan berbangsa Melayu, maka di sekolah terdekat akan dominan anak Melayu.

Jadi, masalah kita lebih besar dari itu. Jika satu-satu kaum berkumpul di satu-satu tempat tanpa imbangan, ia akan mendorong kejahilan terhadap kaum yang lain dengan serius. Ini kerana tiada dialog berlaku.

Pun, saya difahamkan itu juga bukan kesnya.

Di kawasan yang jumlah penduduk Cina, India dan Melayu hampir seimbang pun, kita tidak menemukan anak-anak Cina di Sekolah Kebangsaan.

Jadi ada kemungkinan besar bangsa Cina memboikot Sekolah Kebangsaan. Ada juga yang berhujah anak-anak Melayu turut bersekolah di Sekolah Cina. Saya berpendapat, kecilnya jumlah Melayu dan India di Sekolah Cina tidak dapat dihujahkan bahawa Sekolah Cina lebih multikultur dari Sekolah Kebangsaan.

Begini, ada satu mitos: Sekolah Cina lebih bagus. Kerana bahasa Mandarin itu maha penting. Atau lebih canggih alasannya, Sekolah Cina lebih berdisiplin. Selain itu, kononnya senang mendapat pekerjaan.

Tukang cat rumah saya, Ah Leong, memberitahu yang dia tidak mahu anaknya ke Sekolah Kebangsaan kerana guru akan mendorong anaknya masuk Islam. Dia takut anak lelakinya belajar sama dengan budak perempuan Melayu. Juga, di Sekolah Kebangsaan kononnya terdapat rasisme. Seolah-olah di Sekolah Cina tiada perkauman.

Saya tanyakan dari manakah dia beroleh kecurigaan ini. Beliau menjawab: media sosial dan dorongan dari tokoh pendidik bangsa Cina.

Ah Leong berpendapat tak mengapa anaknya tidak boleh berbahasa Melayu. Anak-anaknya masih kelak boleh mendapat pekerjaan mudah, lagi pun bahasa Mandarin ada nilai ekonomi. Ah Leong berani menceritakan ini semua kerana ternampakkan pelekat magnet lambang parti DAP di peti sejuk dapur rumah saya.

Prasangka liar terhadap Sekolah Kebangsaan ini dapat difahami. Padahal PIBG ada kuasa menentukan pendekatan yang diambil sekolah.

Pokoknya, kalau anda lantang dalam mesyuarat PIBG, segala yang salah boleh dibetulkan.

Di sebuah mesyuarat PIBG yang saya hadiri, di sebuah Sekolah Kebangsaan yang majoritinya Melayu, seorang bapa, Awang (bukan nama sebenar) ada mengusulkan agar diwajibkan sembahyang berjemaah di sekolah untuk waktu Zohor dan Asar.

Mujur, guru besar waras dan tegas mengatakan, “Sekolah Kebangsaan bukan sekolah Abim atau sekolah Ikram atau sekolah agama. Jika ingin solat berjamaah, hantar anak kalian ke sana. Sekolah ini Sekolah Kebangsaan, ada pelbagai bangsa dan agama.”

PIBG medan anda sebagai warganegara untuk turut serta dalam membuat keputusan bersama. Jika anda malas menghadiri mesyuarat PIBG, anda tidak berhak melolong kemudian hari mengenai hal-hal fundamental yang sudah menjadi bubur kerana tidak ditangani ketika ia masih nasi.

Sukar untuk kita memahami sikap kumpulan pendidik Cina. Kita boleh mengambil contoh terdekat untuk diukur.

Di Singapura, Kamsiah Abdullah menulis sebuah makalah ilmiah mengenai nasib dan pengalaman sekolah vernakular Melayu dalam tulisan bertajuk “Sekolah Menengah Melayu di Singapura 1959-1987”.

Kamsiah dari Nanyang Technological University menulis bagaimana perpisahan Singapura dan Malaysia mendorong kepada pendidikan dengan falsafah berteraskan “multilingualism” dan meritokrasi.

Akhirnya 2 sekolah Melayu terakhir di negara itu, Sekolah Sang Nila Utama dan Sekolah Tun Seri Lanang, terpaksa ditutup demi menjayakan falsafah pendidikan sebuah negara baru.

Akan tetapi, apakah yang kumpulan pendidik Cina lakukan di Singapura?

Mereka membina tembok lain. Mereka masuk ke dalam satu daerah sendiri, menceraikan masyarakat sekeliling dan mendirikan tembok besar.

Mereka mendirikan Sekolah “Special Assistance Plan” atau SAP yang tujuannya untuk membangunkan kemahiran 2 bahasa bertunjangkan nilai-nilai Cina: “effectively bilingual students that are inculcated with traditional Chinese values”.

Yang dimaksudkan 2 bahasa itu tentulah bahasa Mandarin, dan bahasa Inggeris. Jadi SAP itu Sekolah Cina.

Apakah kesannya? Sebuah laporan yang baik untuk menjelaskan bahana ini tulisan Ethel Pang berjudul “As Long As SAP Schools Exist, Chinese Elitism in Singapore Will Exist”.

Dalam laporan yang cukup objektif itu, Pang melaporkan bagaimana beberapa pelajar Melayu atau India yang bersekolah di Sekolah SAP ini mengalami rasisme.

Bukan itu sahaja, pelajar Cina di SAP dikesani tidak dapat membezakan mana satu India dan Melayu, serta hanya kenal nilai Cina (dan bukan nilai Singapura yang kosmopolitan).

Tentu tidak adil menghujahkan Sekolah Cina di Singapura dengan Sekolah Cina di sini. Tetapi, adil atau tidak, kita harus mendengar keluhan teman-teman Cina dari etnik Hakka betapa pemaksaan bahasa Mandarin sebagai dialek tunggal bangsa Cina menjadikan dialek mereka mengakis.

Adakah Sekolah Cina bagus? Saya tidak tahu siapa memulai mitos ini.

Saya terlupa bertanyakan Ah Leong. Dia tukang cat sahaja, tetapi nampak dia serba tahu. Ini kerana pedomannya ada pada Facebook, manakala Confuciusnya Whatsapp!

Sekolah-sekolah kebangsaan terbaik di Selangor adalah Sekolah Kebangsaan Jalan 3; Sekolah Kebangsaan Sri Petaling; Sekolah Kebangsaan Bukit Jelutong; Sekolah Kebangsaan Taman Megah; Sekolah Kebangsaan Saujana Impian; Sekolah Kebangsaan Seksyen 9 Shah Alam.

Ikut serta dalam senarai ini sebuah Sekolah Cina, Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Lick Hung, yang juga Sekolah Berprestasi Tinggi di SS19, Subang Jaya.

Jadi, kita dapat melihat di Selangor, dan kebanyakan negeri lain, Sekolah Kebangsaan juga kompetitif. Hanya di satu dua negeri seperti Melaka dan Pulau Pinang sahaja Sekolah Kebangsaan ketinggalan.

Sudah tentu kita mengharapkan sekolah yang baik adalah sekolah yang baik; tidak perlu dikotakkan atas mana-mana bahasa atau aliran.

Tambahan pula, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil paling tertinggal dalam semua kelompok sekolah ini. Hal ini, nasib anak-anak India satu lagi kepedihan tidak terungkapkan. Padahal kita perlu berlaku adil kepada semua anak-anak.

Semuanya bangsa Malaysia yang mahu mencapai bermacam-macam kemajuan di masa akan datang. Kita belum pula bincangkan anak Orang Asli dan di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.

Sudah tentu saya sebagai seorang liberal akan bersetuju jika sekolah vernakular Cina ditutup, maka semua sekolah atau institusi pendidikan yang khas untuk Melayu seperti MRSM, atau UiTM juga eloklah dikatup.

Bahkan, kita boleh tutup sama semua sekolah tahfiz. Kita beritahu kepada ibu bapa supaya masuk syurga dengan kapasiti sendiri, bukan menunggang anak-anak menjadikan mereka hafiz.

Lagi pun, berapa banyak masalah moral di sekolah-sekolah agama? Hal liwat meliwat lain, hal keselamatan sehingga hangus terbakar lagi lain, dan hal merekrut Islam jalur keras satu lagi masalah yang tiada penghujung.

Kepada golongan liberal yang anak atau cucunya tidak ke Sekolah Kebangsaan (bahkan menghantar anak ke sekolah antarabangsa/swasta), kemudian bertutur bahasa Melayu jauh-jauh, atau sama sekali kurang arif bidang pendidikan; saya dengan rasa rendah diri menasihati – tidaklah usah masuk terjun dalam arus yang kurang anda kenali – memandangkan sudah ada gerakan liberal yang baik-baik perjuangannya menjuarai wanita seperti Sisters in Islam; atau mendorongkan Islam Progresif seperti Islamic Renaissance Front, atau dalam bidang pendidikan ada pula Parent Action Group for Education (PAGE).

Buatlah kerja dalam bidang yang belum diterokai dan bukan merampas kerja-kerja orang sebelum kalian. Jadi bergabung dan majulah bersama-sama mereka.

Wong Tai-Chee tokoh pendidikan Cina dihormati, ada menulis sebuah artikel yang diterjemahkan ke bahasa Melayu dengan judul “Makna Kewarganegaraan dan Diaspora Pada Hari Ini”.

Beliau menyerukan Cina Malaysia agar menghayati makna kewarganegaraan yang tidak lagi nostalgik dan terikat oleh ikatan budaya dan darah.

Kata beliau: “Memandangkan orang Cina Malaysia memiliki kewarganegaraan Malaysia, secara langsungnya mereka kehilangan hak kewarganegaraan China yang ditinggalkan oleh nenek moyang dan bukan lagi diaspora Cina.

“China bukan lagi tanah air mereka. Definisi baharu bagi tanah air tidak lagi bergantung pada bukti tradisional seperti budaya dan ikatan darah, tetapi berdasarkan pengiktirafan dan perasaan kekitaan dalam konsep kewarganegaraan.”

Beliau seterusnya berpesan kepada generasi Cina Malaysia yang lebih berusia agar lebih membumi dan memahami realiti semasa, sambil mengambil kira “kesedaran tempatan”.

Di samping itu beliau secara halus mengingatkan rasa kedekatan dengan kemakmuran China itu hanyalah satu ilusi dan bukan kenyataan:

“Warga Cina Malaysia yang lebih berusia menaruh perasaan mendalam terhadap China, jauh berbanding mana-mana gunung dan laut di tanah airku, Malaysia.”

Beliau seterusnya menambah, “Sesetengah orang Cina mencari jalan keluar secara rohani dengan menjadikan kejayaan China sebagai peristiwa yang menggembirakan diri sendiri. Galakan rohani ini sebenarnya ilusi, sebaliknya perjuangan hak mereka melalui kesedaran tempatan barulah praktikal.”

Mungkin saya patut bertanyakan kepada Profesor Wong Tai-Chee, siapa yang beliau maksudkan dengan “warga Cina Malaysia yang lebih berusia menaruh perasaan mendalam terhadap China, jauh berbanding mana-mana gunung dan laut di tanah airku, Malaysia”?

Jika kita tidak membetulkan semua ini hari ini, dalam sedekad umat Melayu yang takutkan tanglung, dan umat Cina yang menggeletar ternampak tulisan Jawi, akan kian bertambah.

Tatkala itu, saya tidak dapat membayangkan mitos apa lagi yang akan dicipta.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.