
Tidak kira siapa pun yang memerintah Malaysia, mereka tidak akan dapat membebaskan diri dari Amerika Syarikat mahupun China. Waima, negara ini diperintah oleh Dr Mahathir Mohamad atau Hadi Awang sekalipun.
Kalaupun ada negara yang merdeka dari ‘penjajahan Barat’, mereka akan dilabel sebagai ‘rangkaian setan’, dan dicop bersekutu dengan Kremlin. Nasib negara ini adalah sepertinya Venezuela, Korea Utara dan Cuba. Mungkin Iran sedikit lain, kerana kemandiriannya itu luar biasa tinggi.
Justeru, apabila ramai yang bertanyakan kepada saya alkisah perjanjian perdagangan Malaysia dengan AS, dan kononnya jika Malaysia di bawah Perikatan Nasional ini tidak akan berlaku, maka saya pun tertawa. Ini kerana Malaysia memang warisan penjajah dan menyatakan Malaysia bebas dari Inggeris (dan kuasa Barat secara kolektif) sepenuhnya adalah satu jenaka.
Profesor Mahmood Mamdani, menulis ‘Politics and Class Formation in Uganda’ dalam tahun 1976 memperihalkan bagaimana kolonialisme itu adalah pemunggahan hasil mahsul sesebuah negara ke negara yang mencengkam, di mana ia dipermudahkan oleh pengasasan sebuah kelas yang akan menjaga kepentingan mereka. Untuk memastikan pemunggahan hasil mahsul ini berjalan dengan licin, syarikat perdagangan antarabangsa antara-negara ditubuhkan dan mulai mengawal sektor awam negara sasaran. Tulis beliau, ‘as long as the economy remained within the confines of world imperialism, an expansion of the public sector could not be against the multinational corporations but had to be in partnership with them’.
Untuk melicinkan penjarahan ini, Mamdani menyatakan kelas bourgeoisie diwujudkan di mana sektor pendidikan turut ditubuhkan untuk menjadikan ia kenyataan; ‘this was not education, but training; not liberation, but enslavement’; antara yang dilatih adalah anak-anak bangsawan dan mereka juga diserapkan menjadi satu lagi kelas iaitu penjawat awam yang mana di negara jajahan tertentu, para misionaris atau agamawan dengan kerjasama gereja menjadikan ia kenyataan; ‘the political usefulness of missionary education, it should be clear, stemmed from its dual nature: that it was technical as well as ideological, that it imparted skills such as reading, writing, and arithmetic as well as values such as loyalty to the existing order and disciplined self sacrifice in the interest of that order’.
Di negara kita, tidak syak lagi, semua pimpinan Umno adalah kelahiran atau produk borjuis ini, baik secara langsung atau tidak langsung. Ini termasuklah Tunku Abdul Rahman, dan Mahathir. Kelas ‘metropolitan bourgeoisie’ ini dipupuk oleh penjajah untuk kelak menyediakan pula kelompok ‘petty bourgeoisie’ apabila kemerdekaan diberikan. Meskipun Mahmood menulis dalam konteks Uganda, tetapi bekas negara jajahan Inggeris baik di Afrika, India, atau di Asia Tenggara telah menempuh pengalaman yang sama.
Persediaan dilakukan oleh ‘metropolitan bourgeoisie’ dengan mewujudkan ‘petty bourgeoisie’ ini adalah untuk memudahkan pemunggahan hasil mahsul terus berlaku sebaik sahaja ‘kemerdekaan’ diberikan, yang mana secara jelas ia adalah kemerdekaan palsu, bahkan yang diwujudkan adalah apa yang disebut oleh Mamdani sebagai neocolonial state.
Apakah neocolonial state? Kewujudan neocolonial state digerakkan oleh pewaris kepada penjajah, metropolitan bourgeoisie yang menurunkan pula cengkaman itu kepada petty bourgeoisie iaitu antara lain kelas penjawat awam, dan agamawan. Oleh itu sistem pasar, perundangan, politik, dan segala-galanya diciptakan untuk meneruskan kolonialisme ini. Kelas agamawan akan memainkan peranan penting untuk menjadi benteng kepada mereka. Dalam keadaan tertentu mereka adalah elit.
Hari ini, kritikan bahawa Malaysia menjual maruah dan kedaulatan kepada Donald Trump dalam bentuk perjanjian adalah suatu hakikat yang perlu ditelan kerana proses sejarah telah membentuk kita menjadi hamba Barat.
Apakah nasib Malaysia di bawah perjanjian perdagangan yang dimeterai pada 26 Okt antara Anwar Ibrahim dan Presiden Trump ketika sidang kemuncak Asean itu?
Jika kita merenungi perjanjian tersebut ia merangkumi peruntukan yang menggalakkan penjajaran lebih rapat dengan Washington dalam hal keselamatan negara seperti kawalan eksport, sekatan dan tapisan pelaburan. Suka atau tidak, perjanjian ini telah turut membuka pintu gerbang agar diberi akses keutamaan kepada barangan dan perkhidmatan AS manakala AS akan mengecualikan beberapa eksport Malaysia daripada tarif timbal balik 19% yang dikenakan Trump.
Untuk balasan pula, Malaysia diminta mematuhi sekatan perdagangan AS yang berkaitan kebimbangan ekonomi atau keselamatan negara, menyelaraskan dasar kawalan eksport dan sekatan terhadap teknologi sensitif, serta menghalang firma Malaysia daripada membantu aktiviti pengelakan sekatan (yang tidak syak lagi melibatkan negara kebencian AS seperti Iran).
Belum ada negara umat Islam yang dapat bebas dan merdeka daripada cengkaman ekonomi dan penjajahan pasaran ini kecuali Iran. Dan yang menjadikan mereka mampu bertahan, meskipun mengalami sekatan ekonomi, tidak lain tidak bukan adalah kerana kepercayaan mereka dari segi agama jauh lebih kompleks dari apa yang kita imani di negara ini.
Dalam erti kata lain, jika puak masjid dan surau mengundi beramai-ramai ulama PAS dengan harapan mereka akan dapat memerdekakan Malaysia dari Barat, ia adalah satu jenaka. Pengerusi Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai) P Ramasamy pun tahu tentang ini, tetapi dia pura-pura tidak tahu sebab semuanya sedang main politik.
Masalah neocolonial sebesar ini tidak selesai dengan membubuh muka sedih Tuan Ibrahim Tuan Man di Seri Perdana. Masalah sebesar ini memerlukan perubahan sikap dan kepercayaan yang juga besar. Seperti, belajar apakah kekuatan Iran. Kesombongan, keangkuhan dan keengganan kelas agamawan kita untuk belajar daripada mereka, menjadikan kita terus menjadi neocolonial state yang diperintah oleh kelas borjuis-bangsawan seperti kita lihat di Malaysia hari ini. Itu jika betul Malaysia ingin melepaskan diri daripada belenggu Barat.
Saya dengar pimpinan PAS selain Hadi sudah mulai bermain kolam di Iran, tetapi dengan kumpulan dan tokoh Ahlus Sunnah wal Jamaah di sana. Saya tidak tahu Hadi tahu atau tidak perkara ini. Baguslah, pimpinan bawah PAS ini berhubung dengan tokoh Sunni di Iran, ini supaya mereka beroleh maklumat yang betul. Pun, nasihat saya hati-hatilah. Ini kerana permainan atas nama gerakan Islami begini boleh merosakkan hubungan peringkat negara jika berlebih-lebihan. Iran adalah negara yang bermain di peringkat antarabangsa secara sungguh-sungguhan. Hadi tahu itu.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.