
Ketua Polis Papar, Batholomew Ak Umpit berkata, kejadian berlaku pada kira-kira 10 malam apabila tujuh sekeluarga terbabit bergerak dari Keningau menuju ke Kota Kinabalu.
Katanya, lori besar itu membawa muatan sebuah van dan dipercayai dipandu laju sebelum hilang kawalan.
“Lori berkenaan terbabas sendiri ke jalan bertentangan sebelum melanggar tebing bukit.
“Polis percaya brek lori berkenaan gagal berfungsi dengan baik dan akibat daripada kemalangan itu, pemandu lori tersepit di tempat duduk hadapan lori manakala isteri dan salah seorang anak perempuannya pula terhumban keluar.
“Ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan paramedik Hospital Papar yang hadir membantu di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Batholomew berkata, empat lagi mangsa yang cedera dihantar ke Unit Kecemasan Hospital Papar untuk mendapatkan rawatan segera.
Katanya, tiga mangsa yang maut berusia 12 hingga 40 tahun manakala empat yang cedera termasuk seorang parah berusia lingkungan 4 hingga 15 tahun.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan,” katanya.