
Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata, sukar bagi Gerakan untuk memenangi kerusi kerana pengundi Cina yang menjadi asas sokongan utamanya, kini berpihak kepada Pakatan Harapan.
Alasan lain untuk keengganan pengundi Cina menyokong Gerakan kerana parti itu sekarang sebahagian daripada Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin Yassin.
“Pada PRU14, Gerakan tidak memenangi sebarang kerusi DUN dan Parlimen yang ditandinginya, dan saya menjangkakan ia akan berulang sekiranya Gerakan tidak dapat memikat pengundi Cina,” katanya.
Awang Azman berkata, Gerakan seharusnya memanfaatkan ketidakpuasan pengundi Cina dengan pengunduran Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri tahun lalu untuk meningkatkan sokongannya dalam kalangan masyarakat, sambil menambah parti itu tidak boleh hanya bergantung pada undi orang Melayu.
“Gerakan punya masa depan dalam kancah politik Malaysia jika menggunakan strategi yang lebih kuat untuk menarik pengundi Cina, kerana mereka memiliki sejarah yang panjang. Selagi Gerakan terus bergantung pada undi orang Melayu, pertumbuhannya akan terus tersekat ”
Sabtu lalu, presiden parti Dominic Lau mengumumkan Gerakan mahu bertanding di lebih banyak kawasan pada PRU15. Bagaimanapun, majlis presiden PN mempunyai keputusan akhir mengenai agihan kerusi untuk parti komponen.
Pada 2018, Gerakan kehilangan semua 22 kerusi Parlimen dan 31 DUN yang ditandinginya, prestasi terburuknya pada pilihan raya umum.
Azmi Hassan, bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia, berkata satu-satunya alasan kehebatan Gerakan pada masa lalu, terutamanya di Pulau Pinang, adalah kerana ia sebahagian daripada Barisan Nasional.
Dalam keadaan semasa ketika ini, Gerakan sangat perlu bergantung pada bantuan dan sokongan PN jika berhasrat untuk bertanding lebih banyak kerusi dan menunjukkan prestasi yang baik, katanya.
Tetapi katanya, Gerakan berdepan pertempuran berat untuk melakukannya dengan baik pada pilihan raya akan datang kerana pengaruhnya semakin lemah serta keadaan PN yang dilihat lebih lemah daripada BN.
“Ia adalah tugas yang sangat sukar bagi Gerakan untuk mencapai sasaran 30% dari apa yang mereka capai ketika mereka berada di dalam BN,” katanya kepada FMT.