Anwar gagal peroleh kebenaran cabar nasihat PM pada Agong berkenaan darurat

Anwar gagal peroleh kebenaran cabar nasihat PM pada Agong berkenaan darurat

Mahkamah Tinggi menolak permohonan daripada ketua pembangkang itu atas alasan itu di luar bidang kuasanya.

Pada 25 Jan lalu, Anwar Ibrahim memfailkan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melalui Tetuan Karpal Singh & Co.
PETALING JAYA:
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menggantung Parlimen dalam tempoh darurat.

Keputusan itu dimaklumkan Peguam Persekutuan Mohammad Sallehuddin Md Ali ketika dihubungi media selepas selesai prosiding kes di hadapan Hakim Mahkamah Rayuan, Mariana Yahya, yang bertindak sebagai Hakim Mahkamah Tinggi, menurut laporan Berita Harian.

Perkara itu kemudian disahkan sendiri peguam Sangeet Kaur Deo, yang mewakili Anwar.

Sallehuddin berkata, mahkamah menolak permohonan itu dengan alasan ia tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar semakan kehakiman itu berdasarkan Perkara 150(6) dan 150(8) Perlembagaan Persekutuan.

Kata beliau, nasihat Jemaah Menteri dan Perdana Menteri kepada Agong bagi mengisytiharkan Ordinan Darurat tidak tertakluk kepada semakan kehakiman.

Turut hadir pada prosiding hari ini, Peguam Kanan Persekutuan S Narkunavathy dan peguam Ramkarpal Singh.

Pada 25 Jan lalu, Anwar memfailkan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melalui Tetuan Karpal Singh & Co.

Ramkarpal, yang mewakili Anwar berkata, permohonan itu menamakan Muhyiddin dan kerajaan sebagai responden pertama dan kedua.

Bagaimanapun, beliau berkata, apa yang dicabar dalam permohonan itu bukanlah pengisytiharan darurat, sebaliknya keputusan Perdana Menteri melalui Jemaah Menteri untuk menasihati Agong bagi meluluskan kaedah 14 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menggantung persidangan Parlimen dalam tempoh darurat berkenaan.

Anwar memohon deklarasi bahawa Seksyen 14 Ordinan Darurat itu tidak konsisten dengan Perkara 150 (3) dan (5) Perlembagaan Persekutuan, selain bercanggah dengan Perlembagaan dan tidak sah.

Beliau juga memohon perintah mandamus memerintahkan kedua-dua responden untuk menasihatkan Agong membatalkan seksyen berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.