Polis tahan suami isteri didakwa edar dadah

Polis tahan suami isteri didakwa edar dadah

Pasangan itu dipercayai aktif mengedar dadah di sekitar Lembah Klang sejak tujuh bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul Beh Eng Lai berkata suspek lelaki mempunyai tiga rekod lampau jenayah dan dadah manakala isterinya tiada rekod. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Polis menahan sepasang suami isteri yang dipercayai aktif dalam kegiatan pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang, pada Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Sentul Beh Eng Lai berkata dalam serbuan pertama, seorang lelaki berusia 37 tahun ditahan di sebuah taman permainan di Segambut pada 4.30 petang.

Beliau berkata hasil pemeriksaan ke atas sebuah kereta milik lelaki itu menemukan dadah jenis ganja seberat 2.54 kg dan wang tunai RM200 dipercayai hasil jualan dadah berkenaan.

“Susulan itu, suspek telah membawa polis ke sebuah pangsapuri di Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya dan menahan seorang wanita berusia 24 tahun.

“Pasukan serbuan turut menemukan 25.71kg ganja dan 406g heroin di bilik tidur pangsapuri berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Sentul, hari ini.

Beh berkata hasil saringan ujian air kencing wanita berkenaan juga didapati positif dadah jenis Tetrahydrocannabinol (THC) dan nilai keseluruhan rampasan dadah adalah sebanyak RM75,375.

Katanya, pasangan terbabit dipercayai aktif mengedar dadah sejak tujuh bulan dan mendapat bekalan daripada seorang lelaki yang sudah dikenal pasti.

Menurut Beh, semakan rekod mendapati suspek lelaki mempunyai tiga rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah manakala isterinya tidak mempunyai rekod jenayah.

“Kedua-dua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam hingga 29 April bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.