
Mahkamah diberitahu, T Nhaveen takut pergi ke sekolah selama hampir setahun kerana gangguan itu, selain dikatakan “diculik” dan dipukul sekumpulan remaja pada malam kematiannya.
Ibunya, D Shanti, 47, teresak-esak memberitahu mahkamah, pelajar SMK Hj Mohd Nor Ahmad itu sering tidak menghadiri kelas ketika berada di Tingkatan Tiga kerana tidak tahan dibuli secara berterusan oleh seorang rakan sekelas.
Shanti berkata, beliau sendiri turut bersemuka dengan rakan sekelas anaknya itu yang bernama “Raga” untuk bertanya mengapa dia sering mengganggu Nhaveen, namun jawapan diterima adalah “Makcik, kami cuma main-main.”
Permintaannya supaya mereka berhenti membuli anaknya juga langsung tidak diendahkan, malah Shanti mendakwa Nhaveen turut diejek bersikap “pondan” kerana mengadu kepada ibunya mengenai gangguan itu.
Saksi itu kemudian mengenal pasti “Raga” sebagai salah seorang daripada empat tertuduh yang didakwa dalam kes itu.
Menurut Shanti, Nhaveen mula kembali menghadiri kelas selepas Raga digantung sekolah pada awal Tingkatan Empat.
Empat tertuduh remaja itu yang turut termasuk dua juvana, didakwa membunuh Nhaveen berhampiran Karpal Singh Learning Centre, Jalan Kaki Bukit, Gelugor antara 11 malam dan detik tengah malam pada 9 Jun 2017.
Sementara itu, Santhi berkata pada hari kejadian, rakan anaknya, T Previin, datang ke rumahnya memberitahu Nhaveen telah dipukul.
Previin yang juga berdarah di mukanya berkata mereka berdua dipukul Raga dan kawan-kawannya, selepas mendakwa “diculik” kumpulan itu.
Shanti kemudian cuba menghubungi Raga menggunakan telefon Previin untuk bertanya di mana Nhaveen, namun remaja terbabit dengan garang menjawab “Saya tidak boleh menghantarnya balik selagi tidak ‘settle.’”
Shanti mengakui tidak faham apa yang dimaksudkan, malah berkata mahu membuat laporan polis tetapi Raga berkata “tidak boleh” dan memutuskan panggilan.
Beliau kemudian mendapat panggilan telefon daripada seseorang yang tidak dikenali pada 1.40 pagi yang menyuruhnya mengambil Nhaveen di satu padang.
Sejurus itu, seorang lelaki yang mendakwa dirinya abang salah seorang penyerang terbabit menghubunginya untuk memaklumkan dia akan membawa Nhaveen ke Hospital Pulau Pinang kerana cedera teruk.
Bagaimanapun, apabila tiba di hospital pada 2.05 pagi, Shanti berkata, seorang doktor memaklumkan bahawa Nhaveen telah meninggal dunia.
Seorang lagi doktor yang hanya dikenali sebagai “Priya” kemudian memberitahunya anaknya turut mengalami kecederaan teruk pada dubur.
“Saya hilang akal selepas mendengar kecederaan pada dubur itu. Saya tidak percaya Raga, seorang rakan sekolah, sanggup mengapa-apakannya.
“Anak saya sangat baik, dia tidak pernah menyakitkan sesiapa,” kata beliau sambil menangis.
Shanti berkata, beliau bukannya mahu membalas dendam sebaliknya mahukan keadilan untuk anaknya. Mahkamah terpaksa berehat dua kali untuk membolehkannya bertenang.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Amril Johari berkata, beliau mendapat aduan mengenai saksi pendakwa diganggu keluarga tertuduh.
Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Radzi Abdul Hamid memberi amaran supaya ahli keluarga tertuduh tidak menghubungi mana-mana saksi, malah pendakwaan boleh membuat laporan polis sekiranya kejadian itu berulang.
Perbicaraan bersambung esok.