Cita-cita Ismail jadi PM di tangan Muhyiddin

Cita-cita Ismail jadi PM di tangan Muhyiddin

Menurut sumber, sokongan Bersatu masih belum muktamad.

Muhyiddin Yassin bakal menentukan sama ada cita-cita Ismail Sabri Yaakob untuk menjadi PM akan tercapai ketika membuat pengumuman mengenai pilihan Bersatu petang ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kini kelihatan seolah-olah cita-cita Ismail Sabri Yaakob menjadi perdana menteri kesembilan bergantung kepada keputusan pendahulunya, Muhyiddin Yassin.

Peletakan jawatan Muhyiddin sebagai perdana menteri pada Isnin memberi peluang kepada Ismail untuk naik tetapi beliau tidak akan dapat melakukannya tanpa “lampu hijau” daripada Muhyiddin, kata sumber.

Satu sumber memberitahu FMT, walaupun dengan sokongan Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak dan PAS, tidak tentu sama ada Ismail mendapat cukup sokongan kerana keputusan Bersatu belum muktamad.

Muhyiddin hanya akan mengumumkan calon perdana menteri pilihan gabungan Perikatan Nasional (PN) petang ini.

“Dalam Bersatu, ada sedikit perebutan antara Hamzah Zainudin dan Azmin Ali mengenai siapa yang jadi timbalan perdana menteri, tetapi akhirnya Ahli Parlimen akan mengikut keputusan Muhyiddin,” katanya.

“Jadi Ismail berdepan dilema kerana beliau tahu kerajaan baharu tidak boleh kelihatan seperti pentadbiran PN 2.0 namun beliau bergantung kepada sokongan Bersatu.”

Sumber itu juga berkata, Ismail mesti mendapat sokongan semua Ahli Parlimen Bersatu kerana ada Ahli Parlimen Umno yang mungkin tidak akan menurut pendirian parti itu menyokongnya sebagai perdana menteri.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Yang di-Pertuan juga telah menitahkan agar akuan berkanun (SD) daripada 220 Ahli Parlimen diserahkan pada 4 petang hari ini supaya keputusan tentang siapa perdana menteri baharu dapat dibuat.

Memandangkan SD diserahkan terus kepada Agong, tidak dapat dipastikan sama ada Ahli Parlimen akan bertindak mengikut pendirian parti mereka.

Sementara itu, sumber Bersatu berkata, bukan semua orang dalam parti itu selesa dengan idea menyokong Ismail sebagai perdana menteri, tetapi akan menurut “apa sahaja keputusan Muhyiddin”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.