PAS sebulat suara sokong Ismail PM baharu, kata Tuan Ibrahim

PAS sebulat suara sokong Ismail PM baharu, kata Tuan Ibrahim

Semua 18 Ahli Parlimen PAS akan menterjemahkan sokongan itu kepada Agong.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PAS sebulat suara menamakan dan mencalonkan Ismail Sabri sebagai perdana menteri.
PETALING JAYA:
PAS mengesahkan parti itu sebulat suara menyokong dan mencalonkan Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri.

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, semua 18 Ahli Parlimennya akan menterjemahkan sokongan itu dalam akuan berkanun (SD) kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

“PAS menamakan dan mencalonkan Ismail Sabri sebagai perdana menteri sebulat suara,” katanya kepada FMT.

Malam tadi, Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) sebulat suara memilih Ismail sebagai calon perdana menteri baharu.

Selain PAS dan BN, rakan mereka dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini, iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS) turut menyatakan pendirian akan menyokong pencalonan Ismail.

Ismail dilantik timbalan perdana menteri Julai lalu selepas menjadi menteri kanan dalam Kabinet Muhyiddin Yassin yang berundur daripada jawatan tertinggi itu selepas hilang sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Semalam, semua Ahli Parlimen diarahkan menghantar surat akuan menamakan calon pilihan untuk dilantik sebagai perdana menteri ke-9 kepada Istana Negara.

Ahli Parlimen diberi masa selewat-lewatnya 4 petang ini untuk mengemukakan SD secara bertulis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.