RUU antilompat parti dibentang minggu depan, kata Anwar

RUU antilompat parti dibentang minggu depan, kata Anwar

Ketua Pembangkang itu berkata, Perdana Menteri memberi jaminan itu ketika mesyuarat bersama pemimpin PH.

(Dari kiri) Anwar Ibrahim, Ismail Sabri Yaakob, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng ketika mesyuarat di Parlimen hari ini. (Gambar Facebook Anwar Ibrahim)
PETALING JAYA:
Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan rang undang-undang (RUU) antilompat parti akan dibentangkan di Dewan Rakyat minggu depan, kata Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim.

Katanya, jaminan itu diberikan dalam pertemuan Ismail bersama beliau, Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng di Parlimen hari ini.

Bulan lalu, Pakatan Harapan (PH) memberitahu kerajaan bahawa memorandum persefahaman (MoU) antara dua pihak itu akan “dibatalkan secara automatik”, jika RUU antilompat parti tidak dibentangkan dalam sidang Dewan Rakyat seterusnya.

Dalam pertemuan hari ini bersama Perdana Menteri, Anwar berkata, pemimpin parti pembangkang mencadangkan kelonggaran diberikan kepada prosedur operasi standard bagi memudahkan kempen pilihan raya negeri (PRN) Johor.

“Kami juga mengulangi pendirian berhubung penjelasan beliau di Parlimen pagi tadi berkaitan peranan dan tugas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang harus bertindak tanpa bersikap selektif (dalam pendakwaan),” katanya di Facebook.

Terdahulu, Ismail hari ini memberitahu Dewan Rakyat bahawa kerajaan komited sepenuhnya untuk menangani rasuah dan tidak mengamalkan pendakwaan terpilih.

Beliau membangkitkan pelbagai kes rasuah yang sedang berjalan di mahkamah melibatkan pemimpin politik ketika menjawab dakwaan Anwar bahawa penurunan kedudukan Malaysia sebanyak lima anak tangga dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2021 yang dikeluarkan Transparency International disebabkan kerajaan tiada kesungguhan menangani isu berkenaan.

Beliau berkata, individu yang terlibat rasuah sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang akan dihadapkan ke mahkamah yang akan menentukan sama ada mereka bersalah atau tidak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.