
Semua pelajar berusia antara 14 hingga 17 tahun ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu antara 12 tengah hari hingga 1 tengah hari semalam.
Ketua Polis Kuala Terengganu, Abdul Rahim Md Din berkata, suspek dikatakan memukul dan menyepak mangsa berusia 14 tahun pada 11.30 malam Khamis lalu.
Beliau berkata, kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan ringan dan lebam pada paha kiri dan kanan.
“Susulan kejadian itu, mangsa membuat laporan polis jam 9.40 malam kelmarin (Ahad). Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca akibat perselisihan faham antara mereka.
“Semua suspek direman selama tiga hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Terdahulu, semua suspek dibawa ke Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu bagi mendapatkan perintah reman.
Penolong Kanan Pendaftar Kuala Terengganu Norina Maludin membenarkan semua mereka direman selama tiga hari hingga Khamis ini untuk siasatan lanjut.