
Tetapi katanya, belum ada keputusan dibuat berhubung perkara itu buat masa ini.
Beliau berkata, parti itu perlu bertanding di bawah logo yang sesuai pada PRU15, tetapi tidak merujuk secara jelas kepada logo PAS atau Perikatan Nasional (PN).
“Kita bincang, nak ubah simbol. Nak buat satu simbol baharu yang sesuai.
“Bendera yang kita akan (guna akan) bincang balik benda itu.
“Bukan bendera dulu (Perikatan Nasional). Kita bincang nak (guna) bendera sendirilah. Masih dalam perbincangan,” katanya dalam sidang media yang disiarkan di Facebooknya.
Minggu lalu, Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin mendakwa Hadi bersetuju menggunakan logo pakatan itu pada PRU15 dan berkata “perkara ini boleh disahkan kepimpinan PAS”.
Tetapi, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man kemudiannya berkata, parti itu belum membuat keputusan calonnya akan bertanding menggunakan logo mana pada PRU15.
Katanya, penggunaan logo PN sekadar cadangan beberapa pihak, tetapi perkara itu belum dimuktamadkan partinya.
Dalam perkembangan lain, Hadi berkata PRU15 seeloknya diadakan selepas pembentangan Bajet 2023.
Beliau mengulangi pendirian sebelum ini dengan berkata, PAS pada dasarnya mahu PRU15 diadakan selepas habis penggal disebabkan ketidaktentuan krisis ekonomi yang dialami negara ketika ini.
“Sehingga hari ini, (kami) masih pegang (kerajaan sedia ada memerintah) hingga habis tempoh.
“Namun, (dalam) keadaan terdesak boleh ubah bila-bila masa. Bila-bila masa lepas (bentang) bajetlah. Nak bentang bajet dulu, lepas bajetlah.”