
Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin, sebelum ini membentangkan rang undang-undang itu untuk bacaan kedua dan ketiga selepas dibahas seramai 18 Ahli Parlimen.
Rang undang-undang itu bertujuan untuk mempertingkatkan integriti pasukan polis, mengurangkan salah laku dalam kalangan anggota polis dan meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap pasukan polis.
Terdahulu, pada sesi pembentangan itu, Hamzah berkata, RUU IPCC itu memberi fokus kepada penubuhan badan melaksanakan siasatan, manakala tindakan dan hukuman tatatertib masih dikekalkan dengan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) mengikut peruntukan sedia ada dalam Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan.
“Ia digubal selepas dibuat perbandingan antara ‘Independent Office for Police Conduct’ (United Kingdom) dan ‘Independent Police Complaints Council’ (Hong Kong), yang mana negara itu mempunyai badan pemantau bebas.
“Ia hanya menjalankan kuasa siasatan ke atas salah laku, dan hasil dapatan akan dikemukakan kepada pihak berkuasa berkenaan untuk diambil tindakan,” katanya.
Katanya, keanggotaan IPCC terbuka kepada semua individu, termasuk penjawat awam dan pesara polis, yang dipilih berdasarkan kelayakan pengetahuan, kemahiran, pengalaman dan apa-apa perkara lain yang akan ditentukan kemudian.
Hamzah berkata, bagi memastikan siasatan IPCC dijalankan secara inklusif dan komprehensif, wakil Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) boleh dijemput untuk bekerjasama dengan pasukan siasatan IPCC, terutamanya bagi kes kematian dalam tahanan.
“RUU ini juga memperuntukkan supaya semua kes kecederaan serius, kematian dan jenayah seksual terhadap orang dalam tahanan atau jagaan polis, dilaporkan kepada IPCC untuk tindakan lanjut. Ia sekali gus memastikan siasatan jenayah yang telus dapat dijalankan oleh polis, meningkatkan integriti pasukan, menghapuskan persepsi negatif orang awam dan mengelakkan penyiasatan berat sebelah bagi menutup kesalahan polis,” katanya.
Sementara itu semasa sesi penggulungan perbahasan RUU itu, beliau berkata, pihaknya mengadakan libat urus dengan seramai 1,059 orang berhubung IPCC selain menganjurkan sesi taklimat bersama pimpinan tertinggi polis, persatuan bekas polis, wakil Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan pelbagai lagi.
Katanya, sesi taklimat turut diadakan bersama Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.