Mukhriz senarai 5 pilihan Pejuang untuk PRN, termasuk tak tanding

Mukhriz senarai 5 pilihan Pejuang untuk PRN, termasuk tak tanding

Antara pilihan lain Pejuang pada PRN di 6 negeri akan datang termasuk bekerjasama dengan gabungan lain dan bergerak solo.

Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir berkata, beliau akan menyerahkan kepada perwakilan untuk membahaskan pilihan-pilihan yang ada untuk parti itu, walaupun keputusan muktamad terletak pada Majlis Eksekutif Pusat. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Dengan enam negeri mengadakan PRN tahun ini, Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir menyenaraikan lima pilihan untuk dipertimbangkan parti itu, termasuk tidak bertanding sama sekali.

Dalam ucapan pada perhimpunan agung tahunan parti itu, Mukhriz berkata, pilihan pertama adalah bertanding pada PRN sebagai komponen Gerakan Tanah Air (GTA).

Katanya, ramai ahli parti menggesa agar Pejuang keluar daripada gabungan longgar itu, yang terdiri daripada parti berasaskan Melayu, NGO, ahli akademik dan profesional, berikutan prestasi buruknya pada PRU15 baru-baru ini.

Bagaimanapun, perkara itu tidak dipersetujui Dr Mahathir Mohamad.

“Terus terang saya nyatakan bahawa selepas PRU15 yang menyaksikan Pejuang dan GTA hilang wang deposit, kalah di semua kerusi yang ditandingi, mesej yang saya terima daripada ahli-ahli kita mencadangkan supaya kita pertimbangkan semula hubungan dengan GTA.

“Walaupun begitu, saya mengesyorkan agar ketetapan itu dibawa bincang dalam badan tertinggi parti, iaitu Perhimpunan Agung yang kita adakan hari ini.

“Tetapi, Dr Mahathir mendesak supaya Pejuang terus menganggotai GTA. Di atas perbezaan pendirian itu, (beliau) membuat keputusan untuk melepaskan jawatan sebagai pengerusi Pejuang,” katanya.

Mukhriz berkata, pilihan kedua Pejuang adalah bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH). Bagaimanapun, katanya, kerjasama PH dengan Umno dalam kerajaan persekutuan akan menjadi isu.

Bekas Ahli Parlimen Jerlun itu berkata, partinya konsisten dalam menentang rasuah dan salah guna kuasa, yang didakwa dilakukan oleh pemimpin Umno.

“Persoalannya sekarang, adakah kes mahkamah (Ahmad) Zahid (Hamidi) akan digugurkan oleh peguam negara atas arahan perdana menteri? Dan adakah Najib Razak pula akan diampuni dan dibebaskan dari penjara? Kita tunggu dan lihat.”

Walaupun pilihan ketiga adalah bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN), Mukhriz berkata, PN “tidak sebersih (seperti) yang digembar-gemburkan”, sambil menyebut siasatan rasuah yang sedang dijalankan terhadap dakwaan penyelewengan RM92.5 bilion oleh kerajaan PN terdahulu, ketika Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri.

Pilihan keempat, katanya, adalah bergerak secara solo pada PRN. Mengakui pilihan ini akan mendapat tentangan ramai berikutan prestasi lemah Pejuang pada PRU15, beliau menegaskan bahawa terdapat beberapa rasional kukuh untuknya.

“Kalau kita mahu terus dilihat kekal berprinsip, maka mungkin salah satu keputusan adalah supaya kita tidak bersama mana-mana gabungan yang setiap satunya bermasalah seperti yang saya nyatakan,” katanya.

Pilihan kelima, dan yang terakhir, kata Mukhriz, adalah “Pejuang berundur seketika daripada bertanding PRN”.

“Tumpukan masa kepada usaha memperkuat parti dan meletakkan sasaran untuk bertanding di PRU16 empat atau lima tahun lagi,” katanya.

Mukhriz berkata, beliau akan menyerahkan kepada perwakilan Pejuang untuk membahaskan perkara ini, walaupun keputusan muktamad terletak pada Majlis Eksekutif Pusat parti.

GTA meletakkan 158 calon pada PRU15, dengan 116 bersaing di kerusi Parlimen. Gabungan itu bertanding bawah panji Pejuang tetapi semua calon kalah, dengan majoriti turut kehilangan deposit.

Mahathir dan Mukhriz juga kehilangan deposit setelah memungut undi kurang satu perlapan jumlah undian, masing-masing di Parlimen Langkawi dan Jerlun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.