Peruntukan pembangkang: PN akan runding dengan TPM, kata Tuan Ibrahim

Peruntukan pembangkang: PN akan runding dengan TPM, kata Tuan Ibrahim

Timbalan presiden PAS itu berkata, pihaknya sudah melantik tiga Ahli Parlimen untuk membuat rundingan itu.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, rundingan berhubung peruntukan bagi Ahli Parlimen pembangkang itu akan dibuat dalam masa terdekat.
PETALING JAYA:
Perikatan Nasional (PN) akan mengadakan rundingan dengan Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof dalam masa terdekat berhubung status peruntukan pembangkang, kata Tuan Ibrahim Tuan Man.

Timbalan presiden PAS itu berkata, PN sudah melantik tiga Ahli Parlimen untuk membuat rundingan itu, iaitu Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin, Ahli Parlimen Kota Bharu Takiyuddin Hassan, dan Ahli Parlimen Putrajaya Radzi Jidin.

“Rundingan akan dilakukan dalam tempoh terdekat, kita tidak tahu berapa jumlah peruntukan sebenar, namun perdana menteri memaklumkan akan memberi jumlah yang sama dengan Ahli Parlimen kerajaan.

“Kita nak tengok bukti nanti dan apa syarat yang dikenakan,” katanya di Kota Bharu semalam, lapor Berita Harian.

Tuan Ibrahim turut berharap peruntukan itu dapat disalurkan dengan kadar segera bagi membantu rakyat terutama ketika Ramadan.

“Saya jangkakan rundingan hanya berlaku sekali saja sebelum selesai,” katanya.

Perdana menteri sebelum ini menegaskan beliau tidak menolak prinsip memberikan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang sepertimana yang diberikan kepada wakil rakyat pemerintah.

Beliau menyeru pihak pembangkang agar berunding dengan pemerintah agar isu peruntukan Ahli Parlimen boleh diselesaikan secepat mungkin, namun setakat ini, menurutnya, beliau hanya berdepan permusuhan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.