Tempoh dah tamat, minta maaf atau saya saman, Dr M beritahu Anwar

Tempoh dah tamat, minta maaf atau saya saman, Dr M beritahu Anwar

Bekas perdana menteri berkata peguamnya akan meneruskan tindakan undang-undang jika tiada permohonan maaf daripada Anwar Ibrahim.

Dr Mahathir Mohamad mengancam menyaman Anwar Ibrahim berhubung kenyataan presiden PKR itu yang mendakwa bekas perdana menteri mengayakan diri dan keluarganya ketika berkuasa.
PETALING JAYA:
Dr Mahathir Mohamad menggesa Anwar Ibrahim memohon maaf kerana hari ini adalah hari terakhir untuk presiden PKR itu menjawab notis tuntutan selepas menuduh beliau menyalahguna kuasa untuk mengayakan diri dan keluarga.

Bekas perdana menteri berkata, jika Anwar gagal berbuat demikian serta menarik balik tuduhan tersebut beliau akan terus mengarahkan peguamnya mengambil tindakan undang-undang.

“Hari ini hari terakhir untuk Anwar dan peguamnya menjawab surat daripada peguam saya yang memintanya untuk menarik balik fitnah dan meminta maaf kerana menuduh saya menyalah guna kuasa untuk mengayakan keluarga.

“Jika tidak, saya arah peguam saya untuk teruskan tindakan undang-undang tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Mahathir juga menyifatkan Anwar seorang yang pelik apabila memberitahu orang ramai tidak mahu bergaduh sebaliknya sering membuat tuduhan kepadanya.

“Beliau fitnah saya bermacam-macam selama berpuluh tahun tetapi masa bila minta tunjuk bukti, tak ada satu pun bukti yang beliau tunjukkan.

“Saya tidak ambil tindakan kerana saya anggap ianya perbuatan seseorang yang terdesak kerana terlampau mahu jadi perdana menteri. Tetapi hari ini, apabila dah jadi perdana menteri dia masih teruskan fitnah,” katanya.

Pada kongres PKR bulan lalu, Anwar mendakwa bekas perdana menteri itu yang mengetuai pentadbiran selama 22 tahun bawah kerajaan Barisan Nasional, dan 22 bulan semasa Pakatan Harapan memerintah pada 2018, mengayakan diri dan keluarganya ketika berkuasa.

Pada 28 Mac, Mahathir mengumumkan peguamnya menuntut Anwar menarik balik kenyataan dalam tempoh tujuh hari.

Peguam Anwar kemudian memaklumkan pihaknya akan menjawab notis tuntutan dikemukakan Mahathir pada 17 April.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.