Kepulangan Isa kepada Umno kelebihan buat kerajaan perpaduan, kata penganalisis

Kepulangan Isa kepada Umno kelebihan buat kerajaan perpaduan, kata penganalisis

Pengaruh Isa Samad, yang pernah menjadi menteri besar selama 22 tahun, dikatakan masih kuat, terutamanya di Negeri Sembilan.

Isa Samad meninggalkan Umno pada Oktober 2018 untuk bertanding pada PRK Parlimen Port Dickson sebagai calon bebas, namun kini kembali kepada parti itu.
PETALING JAYA:
Kepulangan bekas menteri besar Negeri Sembilan Isa Samad kepada Umno akan meningkatkan peluang gabungan perpaduan pada PRN akan datang, kata penganalisis.

Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara berkata Isa, yang pernah menjadi menteri besar selama 22 tahun, masih berpengaruh, terutamanya di Negeri Sembilan.

“Dengan Barisan Nasional (BN) bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), dan melihat Perikatan Nasional (PN) berhempas pulas untuk menawan Negeri Sembilan pada pilihan raya akan datang, saya boleh katakan (kepulangan Isa) akan membawa manfaat kepada Umno, BN dan, dari satu segi, kerajaan perpaduan serta PH.

“Saya tak rasa Isa akan adi calon pada PRN akan datang, tetapi beliau akan memainkan peranan penting dalam berkempen untuk kerajaan perpaduan dan BN, disebabkan pengaruhnya di Negeri Sembilan,” kata Azmi kepada FMT.

Azmi berkata, Isa akan menyertai Umno semula sebagai ahli biasa justeru tidak akan menjejaskan hierarki parti sedia ada, khususnya pada peringkat negeri.

Pada 27 Mei, Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki mendedahkan Isa telah diterima semula ke dalam parti. Bekas Ahli Parlimen Jempol itu memohon untuk menyertai Umno semula pada Julai tahun lepas.

Isa, 74, meninggalkan Umno pada Oktober 2018 untuk bertanding pada pilihan raya kecil Parlimen Port Dickson sebagai calon bebas kerana parti itu tidak meletakkan calon.

Dalam pertembungan banyak penjuru di Port Dickson, Anwar Ibrahim menang dengan 31,016 undi, manakala pesaing terdekatnya, Nazari Mokhtar daripada PAS, memperoleh 7,456 undi. Isa memperoleh 4,230 undi.

Awang Azman Pawi daripada Universiti Malaya berkata, kepulangan Isa kepada Umno akan membantu parti itu mengukuhkan sokongan akar umbi.

“Saya tak rasa beliau akan bertanding (pada PRN), tetapi dijangka berkempen untuk Umno bagi menarik pengundi, terutamanya yang lebih berusia, yang sebaya dengannya,” katanya.

Katanya, tumpuan Umno kini adalah untuk meletakkan muka baharu sebagai calon. pilihan raya.

Isa, bekas pengerusi Felda, sedang dalam proses rayuan untuk mengetepikan sabitan atas sembilan tuduhan rasuah, membabitkan RM3.09 juta berhubung pembelian hotel Felda di Kuching pada 2014. Perbicaraan ditetapkan pada 26 Jun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.