
Tertuduh berusia 39 tahun turut mengaku bersalah terhadap tuduhan melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii, melakukan kelucahan melampau, miliki pornografi kanak-kanak, dan video lucah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.
Tertuduh bagaimanapun perlu menjalani hukuman penjara 16 tahun apabila mahkamah membenarkan semua hukuman penjara berjalan serentak dari tarikh dituduh hari ini.
Menurut Berita Harian, bagi pertuduhan pertama hingga ketiga, dia didakwa melakukan sumbang mahram atau merogol anak kandungnya yang berusia 19 tahun di sebuah rumah dekat Sering, Kota Bharu antara 11 pagi hingga 12.30 tengah hari pada akhir Mac, 10 dan 11 Mei.
Bagi pertuduhan pertama, mahkamah menjatuhi hukuman 14 tahun penjara dan lapan sebatan, 15 tahun, dan lapan sebatan bagi pertuduhan kedua serta 16 tahun dan lapan sebatan bagi pertuduhan ketiga.
Manakala, bagi pertuduhan keempat dan kelima, tertuduh mengaku melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii dan melakukan kelucahan melampau terhadap anak kandungnya.
Kesalahan itu dilakukan dua lokasi berasingan iaitu Sering dan Panji, Kota Bharu antara 11.05 pagi dan 4 petang pada 11 Mei lalu dan 7 Disember tahun lalu.
Bagi kesalahan itu, mahkamah menjatuhi hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan bagi pertuduhan keempat dan penjara satu tahun bagi pertuduhan kelima.
Sementara itu, bagi pertuduhan keenam dan ketujuh, tertuduh didakwa memiliki pornografi kanak-kanak dan memiliki video lucah dalam telefon bimbit. Kesalahan itu dilakukan di lokasi sama iaitu Sering, Kota Bharu, pada 19 Mei.
Bagi kesalahan berkenaan, mahkamah menjatuhi hukuman penjara dua tahun bagi pertuduhan keenam dan penjara satu tahun bagi pertuduhan ketujuh.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalna Zainal Abidin dan tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Abu Arsalna memohon hukuman setimpal dikenakan memandangkan hubungan tertuduh dengan mangsa adalah bapa kandung dan anak.
“Sebagai seorang bapa, tertuduh sepatutnya menjadi pelindung dan tidak melakukan perbuatan terkutuk terhadap anaknya. Perbuatan yang dilakukan tertuduh meninggalkan kesan trauma seumur hidup kepada mangsa,” katanya.