
Bertemu penduduk dalam majlis kenduri Aidiladha di Kampung Guar Perahu, Anwar berkata kelompok tertentu itu berpakat ketika negara terbeban dengan hutang RM1.5 trilion dan rakyat kesusahan.
“Keadaan susah jadi kita patut bersihkan negara ini daripada kerja rasuah dan penyelewengan. Macam-macam ugutan saya terima. Geng-geng kaya-raya ini dah berpakat,” katanya kepada ratusan hadirin di luar sebuah masjid di Guar Perahu.
Anwar turut membidas kelompok yang cuba memainkan sentimen Melayu dan sebagainya ketika ‘pembersihan’ itu. “Geng penyakau bilion-bilion pakat sekarang ini nak buat ‘hidup Melayu’ dan sebagainya – hang buat tak (penyelewengan)?”
“Saya lawan tetap lawan,” katanya, sambil menepis dakwaan beliau mengayakan keluarganya.
“Tujuh bulan kuasa satu kepentingan keluarga saya tak pertahankan. Tidak ada sama sekali,” katanya.
Anwar mewakili rakyat Parlimen Permatang Pauh dari 1986 hingga 1999, dan kemudian 2008 hingga 2015.
Beliau kini Ahli Parlimen Tambun. Rakyat Permatang Pauh sekarang diwakili oleh Ahli Parlimen dari PAS.
“Saya nak perbaharui silaturahim dan jumpa kawan-kawan lama. Saya tak pernah lupa jasa dan pengorbanan rakan-rakan di Permatang Pauh,” katanya.
Anwar memberitahu warga Permatang Pauh bahawa usaha kerajaan meningkatkan Islam, melawan rasuah, dan membaiki tatakelola tidak pernah dibantah oleh mana-mana parti dalam kerajaan perpaduan.
“Yang saya dok dengar (dakwaan terhadap parti-parti dalam kerajaan) ini di luar – orang buat macam-macam tuduhan dan tohmahan,” katanya.