Siasat dakwaan Anwar terhadap bekas menteri Umno, kata Dr M

Siasat dakwaan Anwar terhadap bekas menteri Umno, kata Dr M

Anwar Ibrahim sebelum ini mendedahkan ada satu fail menunjukkan bekas menteri Umno mempunyai rekod tidak bersih.

Dr Mahathir Mohamad mahu polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menyiasat dakwaan Anwar Ibrahim itu.
PETALING JAYA:
Dr Mahathir Mohamad menggesa pihak berkuasa menyiasat dakwaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang mengaitkan bekas menteri dari Umno dengan pelbagai kesalahan.

Dalam satu hantaran di Facebook, bekas perdana menteri itu menggesa polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat dakwaan Anwar tersebut.

“Kalau hendak dedah, dedah semualah. Dedah berkenaan (kertas siasatan) menteri sekarang pun.

“Saya tahu ada kertas siasatan terhadap Anwar sendiri, walaupun saya tidak lihat,” katanya.

Mahathir berkata kertas siasatan terhadap Anwar juga dibuka semasa beliau menjadi perdana menteri. Tetapi Mahathir tidak menjelaskan ia berlaku ketika beliau mengetuai kerajaan Barisan Nasional atau Pakatan Harapan.

Anwar dalam satu program di Kedah pada Ahad lalu mendakwa terdapat fail menunjukkan bekas menteri daripada Umno yang kini meninggalkan parti itu sebelum PRU15 mempunyai rekod tidak bersih.

Berita Harian yang memetik presiden PKR itu sebagai berkata bekas menteri terbabit dikesan banyak melakukan penyelewengan ketika mentadbir negara, namun kini bersikap seolah-olah bersih.

Mahathir menegaskan dakwaan Anwar itu perlu disiasat pihak berkuasa dan tindakan undang-undang perlu diambil sekiranya dakwaan perdana menteri itu benar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.