
Timbalan Ketua Umno negeri Shaik Hussein Mydin berkata pengalaman Barisan Nasional (BN) mentadbir Pulau Pinang sebelum PRU 2008 dan digabungkan dengan kejayaan PH mentadbir selama tiga penggal, diyakini mampu mengangkat kembali suara orang Melayu dalam pentadbiran negeri sekiranya diberi mandat.
“Bila dapat duduk dalam kerajaan, kita nak bantu orang Melayu negeri ini, kita nak orang Melayu turut sama dilibatkan dalam membuat dasar. Itu saja,” katanya kepada FMT.
Beliau yang juga calon BN di Sungai Dua berkata perbincangan pembahagian kerusi baru-baru ini juga sangat harmoni apabila DAP penuh ikhlas memberikan enam kerusi kepada BN, walaupun “kita hanya menang dua kerusi pada PRU lepas”.
Selain Sungai Dua, BN juga dalam misi mempertahankan Permatang Berangan yang dimenangi pada PRU14.
Selain dua kerusi itu, BN turut mempertaruhkan bekas menteri belia dan sukan Reezal Merican Naina Merican di DUN Bertam; Naim Salleh (Penaga), Rashidi Zainol (Sungai Aceh), dan Ahmad Zaki Shah Shahidan (Teluk Bahang).
“Kita tak mahu tamak dan tunjuk keikhlasan kerjasama dengan mereka (PH), Umno akan buat terbaik untuk menang kesemua kerusi itu,” kata Shaikh yang juga ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno.
Berkelulusan dalam bidang kejuruteraan, Shaikh yang juga pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) melahirkan keyakinan gabungan BN-PH boleh mencapai keputusan cemerlang pada PRN.
Katanya, sentimen di akar umbi agak baik walaupun terdapat dakwaan wujudnya “gelombang hijau” – merujuk peningkatan sokongan orang Melayu kepada PAS dan Perikatan Nasional (PN).
“Senario PRU15 dan PRN mungkin berbeza, contohnya sekarang kita dapat lihat komponen PN berebut kerusi…PAS kritik Gerakan yang cuba bertanding di kerusi majoriti Melayu seperti Permatang Berangan dan Sungai Dua.
“Berbeza dengan BN-PH, kita dapat selesaikan agihan kerusi dengan baik,” katanya.
Semalam, Pemuda PAS Tasek Gelugor mencabar Gerakan dan Bersatu untuk tidak bertanding di kerusi tradisi mereka di DUN Telok Ayer Tawar, dan Permatang Berangan pada PRN ini.
Naib Ketua Pemudanya Ikhwan Afiq Anwar berkata pihaknya akan menggerakkan jentera parti untuk bertanding sebagai calon bebas jika dua parti komponen PN itu tetap meletakkan calon masing-masing di kerusi berkenaan.