
Anwar ketika berada di Indonesia menghadiri Sidang Kemuncak Asean ke-43 pada 5 Sept, menjelaskan beliau tidak mencampuri keputusan mahkamah itu, selain menegaskan Parlimen tidak boleh membahaskan keputusan telah ditetapkan hakim.
Ia menjawab gesaan Pemuda PKR yang meminta diadakan sidang tergempar Parlimen berkenaan DNAA terhadap Zahid.
“Saya ada hak untuk percaya kepada apa yang pemimpin saya cakap…saya tidak akan campak pemimpin saya di bawah bas,” kata Hassan ketika sesi perbahasan Kajian Separuh Penggal RMK12 bagi 2023-2025 di Dewan Rakyat.
“Tetapi, untuk berlaku adil supaya sahabat-sahabat di blok pembangkang dan kami penyokong kerajaan, kami nak dengar dari PM sendiri supaya isu DNAA ini dinoktahkan juga di dewan ini.”
Hassan berkata sekiranya ia tidak dilakukan dalam masa terdekat, Anwar yang juga pengerusi Pakatan Harapan boleh berbuat demikian semasa sesi soal jawab perdana menteri (PMQ) pada sidang akan datang.
Mahkamah pada 4 Sept lalu melepas tanpa membebaskan Zahid daripada 47 tuduhan rasuah, pecah amanah, dan pengubahan wang membabitkan dana Yayasan Akalbudi; selepas timbalan pendakwa raya memaklumkan Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap beliau pada peringkat itu.
Hakim Collin Lawrence Sequerah dalam keputusannya memaklumkan pihak pendakwaan memberikan beberapa alasan termasuk keperluan menyiasat tuduhan dengan lebih lanjut dan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kandungan buku oleh bekas peguam negara, Tommy Thomas.