Tubuh pasukan bebas siasat dakwaan Ayob, kerajaan diberitahu

Tubuh pasukan bebas siasat dakwaan Ayob, kerajaan diberitahu

Bekas Ahli Parlimen Charles Santiago berkata tidak molek bagi polis menyiasat pasukan sendiri.

Ayob Khan Mydin Pitchay mendakwa ‘ada pihak tertentu’ cuba menjatuhkannya, selain seorang lagi pegawai tinggi polis. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kementerian Dalam Negeri perlu campur tangan dan membentuk pasukan penyiasat susulan dakwaan rancangan untuk menjatuhkan Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay, kata bekas Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago.

Santiago berkata, pasukan itu mesti dianggotai individu di luar pasukan polis bagi menyiasat dakwaan Ayob yang menyatakan “ada pihak tertentu” cuba menjatuhkannya, termasuk Ketua Polis Dang Wangi Noor Dellhan Yahaya.

“Jika tidak, kedua-dua mereka akan terus ditohmah dan tidak ada penjelasan jelas jika bos mereka kata ‘kalau nak siasat silakan’,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, pasukan bebas diperlukan memandangkan polis tidak molek untuk melaksanakan siasatan terhadap pasukan sendiri.

Pada Khamis, Ayob pada forum sempena Hari Integriti di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang, berkata ada pihak tertentu cuba menjatuhkannya dan mencemarkan reputasinya menerusi “tohmahan dan tuduhan”.

Bekas ketua polis Johor itu berkata, beliau tetap dengan pendiriannya, mengalu-alukan sebarang siasatan berhubung tuduhan terhadapnya, tanpa memberikan butiran lanjut mengenainya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.