Masalah bekalan diesel di stesen Petronas selesai dalam 24 jam, kata menteri

Masalah bekalan diesel di stesen Petronas selesai dalam 24 jam, kata menteri

Armizan Mohd Ali berkata pengurusan Petronas telah memberi jaminan akan segera menambah bekalan diesel.

Terdahulu, Petronas Dagangan Berhad (PDB) mengakui beberapa stesennya di seluruh negara berdepan kehabisan bekalan diesel yang dijangka berterusan sehingga 31 Dis.
PETALING JAYA:
Masalah bekalan diesel di beberapa stesen Petronas di seluruh negara dijangka pulih dalam tempoh di antara 24 hingga 48 jam, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali.

Bercakap kepada FMT, Mohd Armizan berkata beliau telah berhubung dengan pengurusan syarikat itu yang memberikan jaminan akan segera menambah bekalan diesel bagi mengelakkan pengguna terjejas.

“Petronas akan gerak tambahan bekalan (diesel) dalam tempoh 24 hingga 48 jam.

Armizan Mohd Ali.

“Pengguna tak perlu bimbang, isu bekalan telah selesai…saya secara peribadi sudah bercakap dengan pengurusan Petronas,” katanya.

Terdahulu, Petronas Dagangan Berhad (PDB) dalam kenyataan mengakui beberapa stesennya di seluruh negara berdepan kehabisan bekalan diesel yang dijangka berterusan sehingga 31 Dis.

Justeru, PDB memohon maaf di atas sebarang kesulitan dihadapi selain memberi jaminan sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi meminimumkan gangguan berkenaan.

Sementara itu, Mohd Armizan berkata kementeriannya juga telah meminta Petronas dan syarikat minyak lain mengemukakan laporan dan dokumen terperinci berkaitan punca kehabisan stok diesel.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh pula berkata Petronas disyaratkan untuk mengemukakan senarai stesen-stesen minyak yang terlibat dengan penghantaran bekalan tambahan.

“Ia membolehkan pemantauan dibuat secara menyeluruh,” kata Fuziah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.