‘Dah tunggu setahun’, kata PM berkait cubaan jatuh kerajaan

‘Dah tunggu setahun’, kata PM berkait cubaan jatuh kerajaan

Anwar Ibrahim berkata pembangkang tiada kekuatan menjatuhkan kerajaan termasuk menerusi usul tidak percaya di Parlimen.

Anwar Ibrahim berkata pembangkang sepatutnya bekerja untuk rakyat yang akan membuat pilihan apabila tiba masanya. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Anwar Ibrahim berkata pembangkang tiada kekuatan menjatuhkan kerajaan termasuk membawa usul tidak percaya terhadapnya sebagai perdana menteri di Parlimen.

Beliau berkata, kerajaan pimpinannya sudah memberi peluang kepada Perikatan Nasional (PN) berbuat demikian sejak setahun lalu namun tiada sebarang tindakan dibuat.

“Dah lama kita tunggu (usul tidak percaya), dah setahun. Hari-hari kita tunggu tetapi tak ada, jadi kita tak ada fikir apa-apa.

“Saya tidak fikir mereka ada kekuatan untuk bawa ini (akuan berkanun bagi menumbangkan kerajaan) selain propaganda untuk menipu penyokong supaya tak hilang semangat,” katanya menurut Berita Harian pada sidang media di Johor.

Anwar yang juga menteri kewangan turut menegaskan pembangkang sepatutnya bekerja untuk rakyat yang akan membuat pilihan apabila tiba masanya.

Semalam, Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim daripada PKR menggesa pembangkang segera mengemukakan usul tidak percaya terhadap Anwar sebelum Dewan Rakyat mula bersidang 26 Feb ini, jika serius mahu menguji keabsahannya yang didakwa tiada majoriti mudah 112 sokongan, merujuk kepada dakwaan “Langkah Dubai”.

Menurutnya, tindakan itu boleh dilaksanakan berdasarkan Perkara 43(4) Perlembagaan dan usul perlu dikemukakan kepada speaker Dewan Rakyat sekurang-kurangnya 14 hari sebelum persidangan.

Baru-baru ini, FMT melaporkan kenyataan seorang peguam, Bastian Pius Vendargon, cara terbaik menguji kepercayaan Ahli Parlimen terhadap Anwar adalah di Dewan Rakyat.

Sebelum ini, media melaporkan wujud “Langkah Dubai”, perbincangan didakwa berlangsung di Emiriah Arab Bersatu antara pemimpin pembangkang dan wakil rakyat kerajaan tertentu bertujuan menjatuhkan pentadbiran Anwar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.