8 sekolah di Sabah dilanda banjir, 2,425 pelajar terjejas

8 sekolah di Sabah dilanda banjir, 2,425 pelajar terjejas

Semua pelajar dan guru terjejas menjalani pembelajaran dan pengajaran dari rumah sehingga kerja pembersihan selesai serta keadaan selamat.

Keadaan banjir di SJKC Yuk Syn (kiri) dan SK Gumisi di Tenom.
KOTA KINABALU:
Seramai 2,425 pelajar dan 204 guru terjejas akibat banjir yang melanda lapan sekolah di Sabah hari ini.

Pengarah Pendidikan Sabah, Mistrine Radin berkata, sekolah terbabit terletak di daerah Tenom, Beaufort dan Penampang.

Katanya, semua pelajar dan guru terbabit akan menjalani pembelajaran dan pengajaran dari rumah (PdPR) sehingga kerja pembersihan selesai serta keadaan selamat.

“Sebanyak empat sekolah terjejas di Tenom, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Gumisi, SK Ladong Sapong, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Yuk Syn dan SK Inubai.

Jalan menuju ke SK Tomani di Tenom turut terputus.

“Di Beaufort, tiga sekolah terjejas, iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan St Paul, SK Lago dan SK Bukau, manakala sekolah yang terjejas di Penampang ialah SK Tombovo,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, beberapa daerah di Sabah dilanda banjir dengan ada jalan yang terputus hubungan akibat hujan lebat berterusan sejak semalam.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima beberapa panggilan berhubung kejadian banjir dengan Tenom antara daerah paling teruk terjejas.

“Pihak bomba juga telah menjalankan operasi memindahkan mangsa di Tenom dan setakat ini tiada kemalangan atau kehilangan nyawa dilaporkan akibat banjir ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.