
Abdul Rahman Shariff didakwa menyalahgunakan RM150,000 dari Yayasan Pengurusan Ilmu, di mana dia adalah ahli lembaga pengarahnya.
Jumlah itu kemudian dimasukkan ke dalam syarikatnya, Syarikat Mudra Resources Sdn Bhd pada November 2018.
Bagi pertuduhan ke-2, Rahman dituduh membeli 2 kotak cerut bernilai RM3,049 dengan wang milik yayasan itu pada 2018.
Dia juga didakwa menyalahgunakan RM25,000 daripada yayasan itu untuk membeli ketuhar dan alat penyedut asap pada 7 Jan 2019 untuk Kopi Sandwich Revival, syarikat milik isterinya.
Timbalan Pendakwa Raya Farah Yasmin Salleh dan Abdul Rashid Sulaiman mewakili Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, manakala Rahman diwakili Sallehudin Saidin.
Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi menetapkan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan Rahman melaporkan dirinya di pejabat SPRM Wilayah Persekutuan setiap bulan.
Azura juga menetapkan 13 Feb untuk sebutan semula kes.