Hutan Malaysia terancam dek kemaruk China kepada raja buah

Hutan Malaysia terancam dek kemaruk China kepada raja buah

Penanam di Malaysia menukar banyak kawasan kebun kecil kepada operasi berskala industri.

Durian dikopek di sebuah kedai di Beijing (gambar AFP)
RAUB:
Permintaan memuncak durian di China dipersalahkan sebagai punca gelombang baru pembasmian hutan di Malaysia.

Pencinta alam semula jadi memberi amaran banyak kawasan hutan negara ini dibuka untuk ladang buah berduri itu.

Durian menjadi kegemaran di China dan peningkatan permintaannya mendorong pengeksport berlumba-lumba merebut pasaran yang berkembang itu.

Penanam-penanam di Malaysia menukar banyak kawasan kebun kecil kepada operasi berskala industri, suatu trend yang pencinta alam bimbang menjadi ancaman baru kepada keselamatan hutan yang sudah pun berdepan dengan cabaran kegiatan pembalakan dan ladang sawit.

“Durian kini mendapat banyak perhatian daripada pasaran China,” kata Sophine Tann daripada Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) yang kaji pembersihan tanah untuk tanaman durian.

“Pembasmian hutan untuk penanaman dunian ini persiapan bagi memenuhi permintaan tersebut,” katanya.

Di daerah Raub, Pahang, kawasan-kawasan hutan hujan dibersihkan untuk dijadikan ladang baru. Benih durian yang dilindungi oleh jaringan ditanam di sepanjang lereng bukit yang gondol.

Ladang itu bersebelahan kawasan hutan terpelihara yang menjadi habitat bermacam jenis haiwan daripada beruk hingga burung eksotik.

Terletak berdekatan adalah sebatang sungai, yang kini keruh dan dipenuhi batang dan dahan pokok yang ditebang.

Papan tanda di luar ladang itu menyatakan ia dikendalikan oleh Ample Harvest Produce, tetapi kakitangan syarikat enggan memberi komen apabila ditanya mengenai kehilangan pokok-pokok di kawasan berkenaan.

Menerut Peka, status tanah itu ditukarkan oleh kerajaan tempatan untuk membenarkan pembalakan, namun pihak berkuasa tempatan enggan respons kepada pertanyaan.

Di sebuah pasar raya di Beijing, 4,000 km dari situ, gerai “Little Fruit Captain” giat menjual durian Malaysia.

Pengurus Wang Tao berkata, pelanggan-pelanggannya jatuh cinta dengan durian Malaysia disebabkan rasanya yang manis. Mereka kurang minat dengan durian yang dieksport dari negeri lain, seperti Thailand.

Dia mengimport durian beku dari Malaysia dan menjualnya dalam bekas plastik atau dalam bentuk lain, seperti kek, aiskrim atau digoreng seperti kerepek.

Pelanggan-pelanggannya diberitahu mengenai stok kedai tersebut menerusi aplikasi weChat.

“Saya cuba durian masa kanak-kanak dan terus suka rasanya,” kata penuntut universiti Liu Zelun, yang singgah ke kedai itu sekali seminggu untuk makan durian.

“Durian Thailand mempunyai rasa kuat dan anda rasa bosan selepas seketika, tapi yang saya beli di sini tidak begitu,” katanya.

Jenis paling popular dan antara yang paling mahal adalah Musang King, terkenal kerana isinya yang tebal dan kuning.

Sebiji Musang King dijual di kedai Beijing pada harga 800 yuan (AS$120), berkali-kali ganda lebih mahal daripada harga di Malaysia.

“Pelanggan kami tidak kisah dengan harganya. Mereka mahukan yang terbaik,” kata Wang.

Dengan penurunan harga minyak sawit yang dieksport Malaysia, digunakan dalam bahan-bahan di seluruh dunia daripada sabun kepada marjerin, para petani menukar lebih banyak tanaman kepada durian.

Kerajaan menyokong perkembangan industri itu, dengan harapan mendapat hasil daripada permintaan yang semakin meningkat di ekonomi kedua terbesar di dunia itu.

Menurut Kementerian Pertanian, nilai pengangkutan durian dari Malaysia ke China pada 8 bulan pertama 2018 mencecah RM7.4 juta (AS$1.8 juta), lebih daripada 2 kali ganda nilai pada tempoh sama 2017.

Malaysia kini berharap persetujuan yang dicapai Ogos bagi mengeksport durian dalam bentuk buah dan beku ke China dapat meningkatkan penghantaran dan dengan itu, dapat mencatat pengeluaran 2 kali ganda kepada 443,000 tan menjelang 2030.

Sebelum ini durian Malaysia hanya dapat dihantar ke China dalam bentuk isi dan pes.

Walaupun pengeluaran melambung, Kementerian Pertanian menegaskan ladang durian berkembang secara perlahan-lahan dan berkata, ia menggalakkan penanam menggunakan kebun sedia ada dan menghidupkan semula pokok yang tidak produktif.

“Pemotongan tumbuhan hutan di kawasan-kawasan baru tidak digalakkan,” kata Menteri Pertanian Datuk Salahuddin Ayub kepada AFP dalam satu kenyataan.

Beliau menambah pokok-pokok yang ditebang untuk ladang mesti mematuhi peraturan alam sekitar yang ketat.

Di Kelantan, Orang Asli menghalang satu syarikat daripada menebang pokok di tanah warisan mereka tahun lepas untuk membuka ladang Musang King.

Kerajaan pusat bertindak atas aduan mereka, menyaman kerajaan negeri kerana didakwa gagal mempertahankan hak tanah Orang Asli.

Bagaimanapun, pencinta alam semula jadi memberi amaran gambaran masa depan adalah gelap.

Penanaman durian mengalakkan lebih banyak pembasmian hutan dan kehilangan biodiversiti di Malaysia, kata kumpulan pencinta Alam, Rimba.

Rimba memberi amaran keadaan itu menuju kepada kemusnahan habitat yang penting untuk pelbagai jenis haiwan seperti harimau, gajah, beruk dan burung enggang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.