
“Sedih melihat warna bendera menjadi kontroversi berbanding artikel saya,” kata pengerusi Country Heights Holdings itu dalam satu catatan Facebook, beberapa jam selepas gambar Jalur Gemilang yang diubah suai itu mendapat bantahan dalam talian.
Katanya, beliau meminta pekerjanya menukar jalur putih dalam bendera kepada hitam untuk mencerminkan kebimbangannya terhadap rasuah dan prinsip moral di negara ini.
“Saya menasihatkan generasi akan datang berdasarkan pengalaman saya, jangan ubah warna grafik atau bendera secara fizikal.”
Satu petisyen dalam talian meraih kira-kira 3,500 tandatangan ketika ini untuk membantah pengubahsuaian bendera Malaysia.

Petisyen itu antara lain menggesa Yang di-Pertuan Agong, Sultan Selangor dan Johor menarik balik darjah kebesaran yang diberikan kepada Lee.
Dalam satu catatan di laman web peribadinya semalam, Lee yang menyifatkan dirinya “usahawan Malaysia penuh semangat dan mempunyai kepercayaan kuat dalam falsafah Cina”, berkata khat tidak patut dijadikan sebahagian sukatan pelajaran di sekolah.
“Saya akan belajar khat sebagai hobi dan mengalu-alukan pembelajaran khat sebagai satu bentuk seni, bukannya menjadikan ia wajib. Jangan memperkenalkan jawi sebagai subjek wajib. Satu bentuk seni tidak patut diwajibkan, wajib bermakna ia menjadi peraturan.”
Beliau turut memberi amaran kerajaan Pakatan Harapan hanya boleh memerintah negara satu penggal.
Katanya, parti pemerintah sibuk bertelagah sesama sendiri dan hilang fokus ke atas “isu lebih penting”, beliau memberi contoh slogan “Malu Apa Bossku” oleh Najib Razak dan kontroversi “video bertaraf X”.
“Ada isu besar berkaitan nilai Islam yang perlu difokuskan. Rakyat bersatu demi satu alasan, iaitu menyelamatkan negara ini daripada ambang muflis dan pemerintahan kerajaan kleptokrasi,” tulisnya.