MoU tak bermaksud PH sertai kerajaan, kata Loke

MoU tak bermaksud PH sertai kerajaan, kata Loke

Setiausaha Organisasi DAP itu berkata Pakatan Harapan (PH) akan tetap duduk di blok pembangkang dan terus memainkan peranan ‘semak dan imbang’.

Pemimpin DAP Loke Siew Fook berkata, PH akan terus memainkan peranan sebagai semak dan imbang kepada kerajaan.
PETALING JAYA:
Pakatan Harapan (PH) akan terus memastikan kerajaan bertanggungjawab walaupun kedua-dua blok itu akan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) hari ini.

“Memorandum persefahaman ini tidak bermaksud bahawa Pakatan Harapan telah menyertai pihak kerajaan,” kata Setiausaha Organisasi DAP, Loke Siew Fook.

“Ahli-ahli Parlimen PH tetap duduk di sebelah blok pembangkang dan terus memainkan peranan sebagai ‘check and balance’, terus memantau dan mengkritik sebarang kelemahan kerajaan serta tetap lantang bersuara untuk kepentingan rakyat,” kata bekas menteri pengangkutan itu di Facebook.

Dalam kenyataan bersama malam tadi, perwakilan kedua-dua pihak itu berkata, mereka bersetuju untuk bekerjasama dalam semangat bipartisan untuk mengembalikan kestabilan politik sementara kerajaan mengurus pandemik Covid-19 dan membantu meningkatkan pemulihan ekonomi.

Jelas Loke, MoU itu akan memperincikan kerjasama PH dengan kerajaan bagi mana-mana rang undang-undang (RUU) yang perlu dirunding dan dipersetujui secara dasarnya seperti Belanjawan.

Sebagai “balasan” untuk persefahaman itu katanya, kerajaan perlu melaksanakan pelbagai dasar yang membantu rakyat serta membawa pembaharuan dalam sistem pentadbiran negara dan memperkukuhkan institusi Parlimen.

Katanya, senarai penuh komitmen daripada kerajaan akan diumumkan selepas MoU ditandatangani pada 5 petang esok.

Memorandum itu akan ditandatangani oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, pemimpin pembangkang Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Presiden Upko Wilfred Madius Tangau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.