Bekalan durian susut 60%, harga dijangka naik

Bekalan durian susut 60%, harga dijangka naik

Save Musang King Alliance (SAMKA) berkata kekurangan bekalan itu disebabkan faktor cuaca dan serangan serangga perosak.

Kenaikan harga durian disebabkan peningkatan kos operasi dan harga baja berikutan impak perang Rusia-Ukraine, kata kumpulan pengusaha. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Harga durian dijangka mengalami kenaikan sebanyak 10% tahun ini ekoran bekalan yang berkurangan sehingga 60% akibat cuaca yang tidak menentu dan serangan serangga perosak.

Presiden Save Musang King Alliance (SAMKA), Wilson Chang berkata, disebabkan masalah bekalan, kebanyakan pengusaha kebun durian tidak berani mengambil tempahan raja buah itu untuk dieksport ke luar negara.

“Musim kali ini tidak stabil dan buah juga tidak cantik. Malah tiada lagi alternatif lain yang boleh digunakan untuk menghalang serangga perosak.

“Pokok durian itu juga mungkin akan mati. Jika nak sihatkan pokok itu semula memakan masa yang lama, iaitu lebih kurang satu atau dua tahun,” katanya menurut Sinar Harian.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1, Ahmad Hamzah memaklumkan bahawa harga jualan durian pada musim kali ini dijangka meningkat sekali ganda disebabkan hasil yang berkurangan tetapi mempunyai permintaan tinggi.

Beliau juga memberi ingatan kepada penggemar buah berkenaan supaya bersedia dengan kemungkinan kenaikan harga yang tidak dapat dielakkan kerana pengeluaran tanaman itu yang berkurangan kerana faktor hujan berpanjangan tahun lalu.

Mengulas lanjut, Wilson berkata, harga yang tinggi juga disebabkan peningkatan kos operasi dan harga baja disebabkan impak perang Rusia-Ukraine.

“Sebagai contoh durian Musang King, kalau tahun sebelum ini dijual RM45 satu kilogram, tahun ini naik sedikit dengan anggaran melebihi RM55.

“Bagaimanapun harga tersebut tidaklah melampau seperti yang diperkatakan oleh masyarakat,” katanya.

Justeru katanya, kerajaan perlu memikirkan jalan penyelesaian untuk mengatasi masalah serangga perosak.

Sementara itu, seorang pekebun durian, Abd Manan Ishak, 63, dari Kampung Teluk Ira di Temerloh berkata, hanya sebatang pokok durian di ladangnya berbuah setakat ini.

Katanya, keadaan cuaca yang tidak menentu menyebabkan situasi tersebut terjadi.

“Daripada 20 pokok yang ada dalam kebun saya, satu pokok sahaja yang berbuah setakat ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.