
Presidennya Mukhriz Mahathir berkata, terdapat dakwaan ada unsur-unsur rasuah dan salah guna kuasa dalam isu pewartaan kampung tersebut.
Beliau berkata, ia berikutan dakwaan lisan oleh wakil pemaju kepada penduduk yang mendakwa mereka telah membelanjakan hampir RM42 juta walaupun tanah tersebut belum dibangunkan lagi.
“Kita minta satu kertas siasatan dibuka oleh SPRM untuk menyiasat aliran penggunaan dana tersebut dan sama ada wujud sebarang sogokan, salah guna kuasa dan sebagainya yang membabitkan pegawai di Kementerian Wilayah Persekutuan, Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu dan pegawai di Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan yang terlibat dalam isu ini,” katanya dalam kenyataan pada sidang media di hadapan Ibu Pejabat SPRM.
Kenyataan tersebut dibacakan Pengerusi Pejuang Wilayah Persekutuan, Khairuddin Abu Hassan.
Sebelum ini, bekas menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, beliau akan menghantar surat kepada SPRM kerana mendakwa wujud isu rasuah dalam kes itu.
Terdahulu, penduduk di Kampung Sungai Baru menggesa campur tangan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk menghentikan pihak pemaju daripada mengambil tanah mereka.
Khalid yang juga pengarah komunikasi Amanah, pada 12 Jun, dilaporkan berkata, pihaknya akan membentuk jawatankuasa khas terdiri daripada peguam untuk mengkaji isu tersebut dari sudut perundangan, sekali gus menghalang serta mencabar keputusan pewartaan itu.
Dalam pada itu, Mukhriz berkata, kedudukan Affendi Zahari sebagai Pengerusi Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) dipertikai selepas dia didakwa muflis.
Katanya, Pejuang mendapat maklumat menerusi carian di Jabatan Insolvensi Malaysia, Affendi dipercayai telah diisytihar muflis oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 11 Okt tahun lalu.
“Perkara in juga menimbulkan satu lagi isu dari segi integriti PKB yang berada di bawah penyeliaan menteri Wilayah Persekutuan.
“Jika dakwaan berhubung status kebankrapan ini benar, maka Affendi tidak boleh lagi bertindak sebagai Pengerusi PKB di bawah undang-undang,” katanya.
Mukhriz berkata, ini kerana Seksyen 10 (c) Akta Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu 2011 (Akta 733) menyebut dengan jelas bahawa “jawatan seseorang anggota perbadanan hendaklah menjadi kosong jika dia diisytihar bankrap”.
Beliau menggesa Menteri Wilayah Persekutuan, Shahidan Kassim menyiasat perkara ini dan mengambil tindakan drastik melantik pengerusi PKB baharu yang kompeten, berintegriti dan bebas dari pengaruh politik.