Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu berkata sekiranya Guan Eng bercuti sebelum siasatan diselesaikan, beliau akan berdepan dengan pelbagai tuduhan dan dakwaan yang tidak berasas sama-sekali.
“Kalau begitu, kita (semua pemimpin) terpaksa bercutilah (setiap kali disiasat). Tidak berasas, sangat tidak berasas,” kata Tony ketika ditemui di ruang legar Parlimen hari ini.
Terdahulu, pembangkang bertegas mahu Perdana Menteri bercuti sementara disiasat berkenaan kes derma politik RM2.6 bilion yang ditemui dalam akaun bank peribadi dan dakwaan penggelapan dalam 1MDB.
Tony berkata Guan Eng tidak perlu dikenakan piawai yang sama.
Beliau menjelaskan berbeza dengan Najib, Guan Eng tidak berada pada kedudukan yang membolehkan beliau terbabit secara langsung dalam siasatan dan mempengaruhi penemuan siasatan.
“Selain daripada memegang jawatan Perdana Menteri, Najib juga merupakan Menteri Kewangan, justeru, berada pada kedudukan yang boleh mempengaruhi hasil siasatan.
“Lantaran itu kita seru beliau supaya bercuti semasa siasatan sedang dijalankan,” jelas Tony.
Tony juga menggesa SPRM supaya selesaikan siasatan keatas pemimpin besar DAP itu sesegera mungkin dan berkata pembangkang sedia bekerjasama.
“Segera selesaikan siasatan. Itu yang kami minta daripada SPRM. Kita tidak mahu mereka tertangguh-tangguh.
“Dalam kes 1MDB dan RM2.6 bilion, sudah lebih setahun berlalu dan tiada apa-apa berlaku.
“Kamu (media) ingat SPRM tidak boleh periksa apa yang mereka (SPRM) mahu periksa? Dalam masa seminggu, SPRM boleh periksa dan tentukan samada mahu dakwa atau tidak.
“Kami sedia bekerjasama esok kalau mereka (SPRM) mahu,” tegas Tony.
Minggu lepas, Ahli Parlimen Tasek Gelugor Shabudin Yahaya mendedahkan Guan Eng membeli sebuah banglo di Jalan Pinhorn pada harga yang lebih rendah daripada nilai pasaran.
Menurut Shabudin, nilai pasaran bagi banglo yang dibeli pada 25 Okt tahun lalu itu dianggarkan bernilai antara RM6 juta hingga RM6.5 juta, tetapi Guan Eng membeli pada nilai separuh daripada itu.
