Tubuh jawatankuasa berhubung isu hak Sabah dan Sarawak

Tubuh jawatankuasa berhubung isu hak Sabah dan Sarawak

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata ia berperanan mengenalpasti pelanggaran dalam hal berhubung hak dan kedudukan kedua-dua negeri dalam Persekutuan Malaysia.

nancy-sabah-sarawak-1
PETALING JAYA: Kerajaan Persekutuan dalam proses menubuhkan jawatankuasa teknikal untuk mengenalpasti pelanggaran dalam hal berhubung hak dan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata jawatankuasa itu akan dianggotai wakil daripada kerajaan Persekutuan, kerajaan Sabah dan Sarawak, dan pakar sejarah daripada dua negeri itu.

“Mesyuarat peringkat tertinggi yang diadakan pada 13 Jun lalu memutuskan penubuhan jawatankuasa ini yang akan mengenalpasti pelanggaran dalam konteks Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan, Perjanjian Malaysia 1963, Akta Malaysia, Perlembagaan Persekutuan dan dokumen dan laporan bertulis lain, seperti Laporan Suruhanjaya Cobbold.

“Laporan pertama (jawatankuasa) tentang cadangan dan penyelesaian diharap akan disampaikan kepada Kabinet Persekutuan pada hujung tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mesyuarat peringkat tertinggi itu dipengerusikan bersama oleh Nancy dan Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, serta turut melibatkan Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali dan wakil daripada kerajaan Persekutuan dan kedua-dua negeri.

Nancy turut memuji Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem dan berkata tekadnya untuk memperjuangkan kepentingan Sarawak bukanlah sekadar cakap-cakap kosong.

“Perdana Menteri dan kerajaan Persekutuan turut memberikan perhatian yang sama dan sangat responsif terhadap pemintaan yang dibuat Sabah dan Sarawak,” katanya sambil menambah pemimpin kedua-dua pihak, iaitu persekutuan dan Sabah dan Sarawak, mempunyai hubungan yang baik.

“Sekarang adalah masa untuk kita menunaikan aspirasi rakyat Sarawak.Ia tidak lagi cakap-cakap sahaja, tetapi pelaksanaan oleh Ketua Menteri kita,” katanya lagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.