Cuba lari, cuba sembunyi, 2 lagi suspek serangan Movida disambar polis

khalid_Movida_600

PETALING JAYA: Polis berjaya menangkap Jasanizam Rosni dan Md Saifuddin Muji — dua suspek yang dikehendaki kerana bersubahat dalam serangan bom tangan ke atas kelab malam Movida, Puchong 28 Jun lalu.

Mereka ditahan dalam satu operasi yang dilancarkan Bahagian Anti-Pengganas Cawangan Khas (SB) di sekitar ibu negara, Johor, Sabah dan Kelantan antara 29 Julai hingga 9 Ogos.

Menurut polis, mereka “bersembunyi di sebuah pondok di kawasan berbukit di Kuala Krai sejak awal Julai 2016,” umum Ketua Polis Negara dalam satu kenyataan hari ini. Mereka diberkas 9 Ogos lalu.

“Kedua-dua suspek ini juga sedang menunggu arahan daripada Mohamad Wanndy Mohamad Jedi untuk melancarkan serangan ke atas pusat hiburan di Johor Bahru,” menurut Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Susulan tangkapan itu, polis berjaya merampas sebutir bom tangan jenis M67 yang disembunyikan di Rengit, Johor yang disyaki akan digunakan dalam serangan itu.

Sementara itu di Sabah, polis memberkas seorang suspek berusia 17 tahun yang menerima arahan daripada anggota IS warga Malaysia di Syria.

“Suspek merancang untuk melancarkan serangan lone wolf dengan menyembelih mana-mana orang bukan Islam di Sandakan,” menurut Khalid.

Di Johor, polis menahan seorang suspek berusia 26 tahun yang merupakan anggota sel yang sama dengan 23 suspek yang ditangkap pihak berkuasa dalam dua operasi khas Julai lalu.

“Suspek ini terlibat dalam rancangan untuk melancarkan serangan keatas Bukit Aman dan kompleks kerajaan di Putrajaya,” menurut Khalid, dan disyaki menerima arahan dari Wanndy.

Dua lagi suspek yang bersubahat menyembunyikan Jasanizam dan Saifuddin juga diberkas di Batu Pahat, Johor dan Kuala Krai, Kelantan.

Mereka dan tiga warga asing – dalam transit ke Timur Tengah – ditangkap kerana melakukan kesalahan di bawah Bab 6A Kanun Keseksaan iaitu kesalahan berkaitan dengan keganasan, dan akan disiasat mengikut prosedur Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.

“Tiga suspek warga asing tersebut adalah bekas tentera, tiga suspek merupakan penjual VCD cetak rompak dan tiga lagi, masing-masing merupakan operator kilang, pemandu jentolak serta penganggur,” kata Khalid.