Pengedar dadah guna awek jelita umpan pelajar

hisap-dadah

PETALING JAYA: Pengedar dadah menggunakan jelitawan sebagai umpan untuk mencari pelanggan di kalangan remaja dan pelajar menerusi Facebook serta WeChat.

Menurut laporan China Press, gadis cantik pada mulanya akan cuba mendekati dan mengajak mangsa keluar, sebelum memancing remaja dengan memberi “gula-gula percuma” supaya bakal pelanggan akan mencuba dadah percuma.

Seorang pekerja sosial di Pusat Pemulihan Bethany, Batu Pahat, yang dipetik akhbar itu berkata, sindiket dadah menjalankan urus niaga melalui Facebook dan menggunakan pelbagai kod untuk berhubung dengan penagih muda, bagi mengelakkan kegiatan haram mereka dikesan pihak berkuasa.

Wanita itu berkata, beliau difahamkan KFC atau serbuk K mewakili ketamin, air sejuk ialah syabu, manakala Omega dan Honda adalah pil ecstasy, gula merah ialah erimin 5, rumput mewakili ganja serta air ajaib yang terdiri daripada campuran beberapa jenis dadah dalam minuman teh hijau.

Beliau berkata, gadis cantik akan meminta penagih yang kehabisan wang menjadi pengedar supaya mereka boleh terus mendapat bekalan dadah.

Katanya, apabila menghadapi tekanan akibat pelajaran atau masalah keluarga, generasi muda dengan mudah terjebak dadah di bawah pengaruh rakan.

Seorang penghuni Pusat Pemulihan Bethany berusia 15 tahun berkata, dia yang keciciran di tingkatan dua, menyertai kongsi gelap di bawah pengaruh teman lelakinya, sebelum mula mengambil pil ecstasy untuk mengurangkan tekanan perasaannya.

Gadis itu menasihatkan pengguna Internet tidak mudah terpedaya dengan dakwaan kononnya dadah boleh menguruskan badan.

Seorang penagih dadah selama tujuh tahun berkata, dia mula mengambil pil ecstasy untuk mengurangkan berat badan sebelum menukar kepada heroin selepas bercerai.

Wanita berusia 31 tahun itu kemudiannya terpaksa menjadi pengedar dadah untuk menyelesaikan masalah kewangan dan terus mendapat bekalan dadah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, ACP Abdul Wahib Musa yang dipetik China Press berkata, kes anak muda menjadi penagih dan pengedar dadah menunjukkan trend meningkat, di mana umur mereka juga semakin muda.

Katanya, anak muda mudah terjerumus perangkap dadah disebabkan rasa ingin tahu, sikap memberontak dan pemikiran tidak matang.

Beliau mengakui pihaknya tidak kerap menerima laporan mengenai kes dadah dalam talian dan mereka perlu bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk memerangi penjualan dadah di Internet.