Cubaan halang pembalak, kaki Orang Asli nyaris terpotong gergaji

orang-asli

PETALING JAYA: Seorang Orang Asli nyaris terputus kakinya dalam cubaannya menghalang syarikat pembalakan daripada memasuki kawasan tanah adat, kata Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK).

Kejadian itu berlaku semalam ketika 160 Orang Asli sekitar Pos Simpor dan JKOAK cuba mempertahankan penghalang jalan daripada dirobohkan pembalak yang turun dalam gerombolan 30 lelaki bersama 3 anggota polis berseragam.

“Dalam kekecohan itu, seorang pemuda yang tidak dikenali melepaskan 2 das tembakan ke udara, tidak jauh daripada penghalang jalan. Orang Asli percaya tembakan itu untuk menakutkan dan memprovokasi orang kampung,” kata JKOAK dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut JKOAK, penghalang jalan itu didirikan pada 27 September selepas notis tuntutan kepada syarikat terbabit; aduan kepada Majlis Pensijilan Kayu Malaysia (MTCC), Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), kerajaan Kelantan dan Pejabat Perdana Menteri; dan memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) gagal menghalang aktiviti pembalakan di tanah adat Orang Asli di Pos simpur, Pos Gob dan Kuala Bering.

“Orang kampung tidak diajak berbincang sebelum pembalakan bermula awal tahun ini. Semua aduan mereka juga tidak terjawab,” kata JKOAK.

Setiausaha JKOAK Mustafa Along, 29, bersama 2 Orang Asli iaitu Manglo Tegau, 24, dan Salim Tegau, 31, ditangkap kerana enggan bekerjasama dan ditahan dalam salah satu daripada 9 kenderaan yang datang bersama ejen pembalak.

Halangan orang kampung berjaya dialihkan polis. Tiga yang ditahan dibebaskan 40 minit kemudian. Menurut JKOAK, penduduk kampung membuat laporan polis pada jam 2 pagi tadi.

“Mereka akan terus mendirikan penghalang jalan untuk mempertahankan tanah adat mereka,” kata JKOAK.

Sementara itu, media melaporkan penduduk meragui identiti sebenar ‘polis’ yang terbabit dalam kejadian itu.

PAUTAN

Orang Asli to block roads to stop Gua Musang loggers