
Roshimah Abdullah, 27; Mohd Sapawi Ab Talib, 27; dan Shukur Ab Talib, 31; didakwa membunuh kanak-kanak kurang upaya, Mohamad Roshamnudin Abdullah, 11, pada antara 8.30 malam (18 Oktober) hingga 4.30 petang (19 Oktober) di rumah pasangan itu di Kampung Bukit Tekedai, Endau, dekat sini.
Ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Roshamnudin merupakan anak kandung kepada Roshimah daripada perkahwinan lalu dan Sapawi, yang bekerja sebagai pemotong rumput merupakan bapa tiri kepada mangsa.
Ketiga-tiga tertuduh, yang tidak diwakili peguam itu mengangguk faham bila pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mazana Sinin.
Mazana kemudiannya menetapkan 7 Disember sebagai tarikh sebutan semula bagi menunggu laporan DNA, kimia dan forensik.
Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suhaila Shafi’uddin.
Pada 19 Oktober lalu, Roshamnudin didakwa ditemui dalam keadaan terbaring dengan kakinya dihempap tong air di bilik air rumahnya oleh ibunya.
Bagaimanapun, kanak-kanak kurang upaya itu, disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Endau.