Pengarah GLC ditahan disyaki salah guna kuasa, terima wang suapan

Pengarah GLC ditahan disyaki salah guna kuasa, terima wang suapan

Suspek dilihat mempunyai kekayaan luar biasa apabila dipercayai membeli 9 buah rumah dengan pembayaran tunai.

macc-arrest
PETALING JAYA: Seorang pengarah urusan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipercayai terlibat dalam salah guna kuasa dan mengambil wang suapan.

Suspek berusia 56 tahun itu ditahan di kediamannya di Seremban lebih kurang jam 9.35 pagi tadi. Wang tunai berjumlah RM30,000 dan tiga buah kereta jenis Audi TT, Toyota Hilux dan motosikal berkuasa tinggi Harley Davidson milik suspek turut dirampas.

Dalam satu kenyataan yang diterima FMT, suspek memegang jawatan berkenaan sejak 2010 dan sepanjang perkhidmatannya, kira-kira 20 pegawai bawahan ditamatkan perkhidmatan kerana enggan bersubahat.

Malah, pegawai itu juga dipercayai menerima sejumlah wang daripada beberapa kontraktor sebagai suapan untuk membenarkan mereka meneruskan projek walaupun gagal menyiapkan kerja dalam tempoh masa ditetapkan.

“Walaubagaimanapun, SPRM masih menyiasat jumlah wang suapan yang telah diperolehi oleh suspek tersebut setakat ini,” ujar beliau.

SPRM juga bertindak membekukan beberapa akaun bank milik suspek dan isteri serta anaknya yang kesemuanya mengandungi wang berjumlah RM2.5 juta yang disyaki diperoleh secara rasuah

Pembekuan itu dilakukan supaya pasukan siasatan boleh menjalankan siasatan di bawah Akta SPRM dan Penggubahan Wang Haram.

Bukan itu sahaja, suspek yang mempunyai 3 orang anak juga dilihat mempunyai kekayaan luar biasa apabila dipercayai membeli 9 buah rumah dengan pembayaran tunai.

Kesemua rumah itu dibeli di Putrajaya (3), pusat bandar Kuala Lumpur (1), Cyberjaya (1) dan Negeri Sembilan (4) bernilai lebih kurang RM 8 juta. Suspek dijangka akan dibawa ke mahkamah Putrajaya bagi permohonan reman esok.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Dato Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan tidak menolak beberapa lagi tangkapan akan dilakukan

Kata Azam, suspek dipercayai menyalahgunakan kuasa yang ada untuk kepentingan diri sendiri sehingga menjejaskan kerjaya dan pendapatan orang lain.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.