Panel Penilai Air bidas Khalid tidak bertanggungjawab

Panel Penilai Air bidas Khalid tidak bertanggungjawab

Panel Penilai Air Selangor berkata, kerajaan belum memuktamadkan perjanjian pengambilalihan ekuiti syarikat konsesi air itu.

azmin-ali_khalid-ibrahim_selangor_600
PETALING JAYA:
Panel Penilai Air hari ini membidas Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak bertanggungjawab kerana membuat dakwaan tidak berasas, sedangkan kerajaan negeri Selangor belum memuktamadkan perjanjian pengambilalihan ekuiti Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH).

Ia susulan dakwaan bekas menteri besar Selangor itu kononnya kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menawarkan RM2.7 bilion kepada SPLASH.

“Tuduhan kerajaan negeri memuktamadkan dan menawarkan RM2.7 bilion kepada SPLASH amat tidak bertanggungjawab.

“Khalid juga mendesak perbincangan pengambilalihan SPLASH dibahas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor. Namun, beliau sendiri lupa banyak perihal tawaran beliau sendiri lakukan kepada semua syarikat konsesi sejak 2009, tidak langsung dibahas seperti desakan beliau mutakhir ini.

“Juga begitu keputusan memulangkan ‘non water assets’ yang dimiliki Puncak Niaga Sdn Bhd kepada Puncak Niaga Holdings Berhad, yang merupakan nilai ‘substantial’ berjumlah RM577 juta tidak langsung dirujuk kepada DUN Selangor,” kata panel itu menerusi kenyataan.

Katanya, dakwaan Khalid kononnya beliau hanya menawarkan RM250 juta kepada SPLASH, 10 kali ganda lebih rendah daripada tawaran sekarang tidak berlaku, sebaliknya jumlah yang ditawarkan melebihi RM1.5 bilion jauh lebih tinggi daripada kenyataannya sebelum ini.

“Panel sekali lagi tegaskan akan kesukaran menetapkan satu cara penentuan penilaian sama untuk mencapai keadilan buat semua pemilik konsesi kerana pelbagai faktor perbezaan sejarah pengkorporatan, terma-terma konsesi dan sebagainya.

“Panel mengharapkan kerajaan negeri Selangor akan dapat merumuskan penstrukturan adil dan munasabah berasaskan prinsip keadilan, tidak membebankan rakyat dan pengguna,” katanya.

Panel Penilai Air ditubuhkan pada 2009 bagi membantu kerajaan Selangor menyempurnakan rancangan penstrukturan industri air Selangor yang diwakili Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara, Tony Pua; Ahli Parlimen DAP Klang, Charles Santiago; Ahli Parlimen PKR Selayang, William Leong; Adun PAS Tanjung Sepat, Mohd Haslin Hassan dan Pengarah Strategi Amanah, Dr Dzulkefly Ahmad.

Sebelum ini, Khalid menafikan kerajaan Selangor di bawah pimpinannya menawarkan bayaran RM2.975 bilion bagi pengambilalihan ekuiti SPLASH antara 2008 hingga 2014 seperti didakwa Azmin.

Katanya, tuduhan Azmin itu bertujuan mengalihkan perbincangan mengenai keputusan pentadbiran ahli Parlimen Gombak itu membayar RM2.7 bilion untuk ekuiti syarikat konsesi air terbabit, iaitu 10 kali lebih tinggi daripada tawaran asal berjumlah RM250.6 juta.

Khalid mengulas kenyataan Azmin yang kerajaan negeri di bawah pimpinan Khalid tidak pernah memaklumkan kepada DUN berhubung tawaran RM2.975 bilion kepada SPLASH melalui surat bertarikh 25 Jun 2009 dan 19 Julai 2009.

Isu SPLASH: 3 NGO desak SPRM panggil Azmin Ali, Khalid Ibrahim

Putrajaya tak terlibat rundingan SPLASH

Tak pernah tawar RM2.975 bilion ambil alih SPLASH, kata Khalid

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.