Kelantan jangan bohong, Orang Asli tolak tuduhan diperalat

Kelantan jangan bohong, Orang Asli tolak tuduhan diperalat

Pertubuhan alam sekitar menyifatkan cubaan mengaitkan usaha mereka kepada agenda melawan kerajaan PAS sebagai tidak adil

peka-sharifah
GUA MUSANG:
Pertubuhan Perlindungan Khazanah Alam Malaysia (PEKA) menyifatkan cubaan mengaitkan usaha menyokong tuntutan Orang Asli Gua di Musang kepada agenda melawan kerajaan PAS sebagai tidak adil.

Pengerusi PEKA Datuk Sharifah Sabrina Syed Akil menegaskan usaha mereka tiada kaitan politik, dan mengingatkan perkara yang ditangani ketika ini menyentuh khazanah alam.

“Kami tidak ada kena-mengena dengan politik. Kami tidak menghasut, tapi kami menyokong mana-mana pihak yang menjaga khazanah alam.

“Senang mereka menuduh orang, menuduh NGO dan menuduh segala-galanya. Kita tengok sendiri Orang Asli sekarang pandai dan tahu hak mereka,” kata Sharifah ketika ditemui FMT di Gua Musang.

Baru-baru ini seramai 47 Orang Asli diberkas Jabatan Perhutanan Kelantan dalam usaha Kerajaan Negeri membuka laluan kepada pembalakan di hutan simpan yang dikatakan tanah adat mereka.

Jabatan Perhutanan Kelantan hari ini berkata Orang Asli yang mendirikan sekatan di Hutan Simpan Kekal (HSK) Balah, Perias dan Gunung Stong melakukan kesalahan di bawah Enakmen Perhutanan Negara (Pemakaian) Negeri Kelantan kerana menduduki dan memasuki kawasan hutan simpan tanpa kebenaran.

Kelantan bertegas Orang Asli melanggar undang-undang kerana menghalang pembalak berlesen daripada mengambil balak, manakala PAS mendakwa penentangan “digerakkan oleh parti politik, yang berpakat dengan penentang kelulusan undang-undang Islam.”

Sebenarnya, kata Sharifah, Kerajaan Negeri gagal menjawab memorandum yang diserahkan tahun lepas.

“Kami pernah hantar memorandum kepada menteri besar meminta mereka supaya tidak menjahanamkan hutan. Kita boleh cari jalan lain untuk jana ekonomi, bukannya dengan aktiviti pembalakkan sahaja namun sehingga kini tiada respon daripada pihak mereka,” katanya.

Sementara itu, seorang aktivis Orang Asli, Mustafa Along, yang baru dibebaskan daripada tahanan menolak dakwaan yang dilemparkan terhadap beliau dan komunitinya.

“Kami buat semua ini sebab rasa cinta kami kepada hutan, tetapi apabila ada pihak mengatakan kami dihasut itu semua tipu,” katanya.

“Memang lumrah manusia untuk pertahankan sesuatu yang kita sayang,” tegasnya.

Isu pembalakan boleh selesai tanpa dalang hasut Orang Asli, kata Amar

PAS: Siti Kasim bukan pencinta Orang Asli, hanya musuhi Kelantan

Orang Asli duduki hutan simpan tanpa kebenaran

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.