KP SPRM: ‘Kenapa kami tak tangkap ahli politik sekarang’

dzulkifi-ahmad-sprm-1PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang dilihat agresif menahan pegawai-pegawai kerajaan sejak sembilan bulan lalu, tidak memberi tumpuan ke atas ahli-ahli politik buat masa sekarang kerana “tidak mahu SPRM diheret ke kancah politik” khususnya menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Dzulkifli Ahmad berkata, beliau telah membuat ketetapan tidak akan bertindak sekarang terhadap ahli-ahli politik kerana tidak mahu SPRM dijadikan alat dan modal untuk berkempen oleh mana-mana parti politik.

“Ini kerana kita semua tahu jika SPRM mengambil tindakan terhadap ahli-ahli politik sebelum pilihan raya sekali pun, ia tetap tidak akan menjadi penghalang kepada mereka untuk terus bertanding dan memegang jawatan.

“Jadi biarlah parti-parti politik ini bertanding di atas keupayaan mereka dengan adil dan berdasarkan ‘track record’ mereka berkhidmat kepada rakyat,” kata beliau dalam wawancara kepada Mingguan Malaysia hari ini.

Bagaimanapun beliau mengingatkan kepada semua parti politik agar memastikan setiap calon yang dipilih bertanding perlulah “benar-benar bersih” dan bebas daripada jenayah rasuah dan salah guna kuasa.

“Sekiranya tidak dipastikan, maka jangan salahkan SPRM apabila kami datang membuat kunjungan hormat dan mengetuk pintu-pintu anda selepas pilihan raya kelak,” kata beliau.

Dzulkifli yang mengetuai SPRM sejak 1 Ogos lalu respons kepada soalan sesetengah pihak bertanya kenapa tindakan ke atas ahli-ahli politik hanya mahu dilakukan selepas PRU14 sedangkan pada pandangan mereka kalau sudah ada bukti SPRM patut bertindak sekarang.

Beliau menjawab: “Kadangkala saya tersenyum sinis mendengar pandangan sebegini yang sarat dengan agenda tersendiri.”

“Ingin saya tegaskan bahawa apabila saya membuat sebarang kenyataan maka, saya tidak akan membuat kenyataan yang bersifat kosong dan populis.

“Masyarakat tahu saya tidak bermain dengan kata-kata. Setiap kenyataan yang dibuat mempunyai sebabnya sendiri dengan mengambil kira kepentingan organisasi saya,” kata beliau yang awal tahun ini pernah memberi amaran ahli politik yang korup tidak akan terlepas daripada tindakan.

“Kita sudah ambil tindakan kepada Tan Sri, Datuk Seri dan Datuk dan dari pelbagai golongan masyarakat lain terlibat dalam rasuah.

“Pada hari yang ke-100, saya telah menyatakan di dalam warkah terbuka kepada rakyat Malaysia, salah satunya agenda ialah terhadap ahli politik yang korup. Tiada pada bila-bila masa saya berkata tidak akan mengambil tindakan terhadap ahli politik.

“Pada malam ini saya menyatakan, dan dengan tegas, kepada ahli politik yang korup, saya hanya mempunyai satu perkataan sahaja: tunggu,” kata Dzulkifli.

Malah pada Januari lalu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, SPRM diberi ruang seluas-luasnya untuk menyiasat, menggeledah dan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam gejala rasuah.

Beliau yang juga menteri dalam negeri berkata usaha proaktif itu perlu diberi sokongan dan kerajaan membuka ruang sepenuhnya kepada SPRM menjalankan penyiasatan terhadap mereka yang disyaki terlibat termasuk ahli politik.

“SPRM bukan hanya sekadar ‘diperundangkan’ tetapi mempunyai kuasa mutlak untuk memburu sesiapa sahaja sama ada ahli politik, ahli perniagaan atau pemegang-pemegang jawatan dalam kerajaan.

“Bagi Kementerian Dalam Negeri (KDN), saya memberikan ruang sepenuhnya untuk SPRM, bukan sekadar menyiasat tetapi menggeledah semua maklumat yang diperolehi serta mengambil tindakan segera ke atas semua pertuduhan,” katanya.

Dzulkifli sebelum ini pernah berkata pihaknya tidak pernah mengetepikan perhatian terhadap ahli-ahli politik yang dipercayai melakukan perbuatan rasuah, sebaliknya hanya menunggu masa untuk mengambil tindakan tegas terhadap ahli-ahli politik berkenaan.

Pada 21 April lalu, Ketua Pemuda PKR Ampang, Datuk Adam Rosly didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 6 pertuduhan berkaitan keterangan palsu di bawah Seksyen 32(8)(c) dan Seksyen 89 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla) yang membawa hukuman denda sehingga RM3 juta dan penjara tidak melebihi 5 tahun, jika sabit kesalahan.

Baru-baru ini, Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4) melancarkan “Kleptocrazy Malaysia” yang merupakan satu platform khas untuk orang ramai mendedahkan kekayaan luar biasa milik penjawat awam dan ahli-ahli politik negara ini.

Pengarah Eksekutif C4, Cynthia Gabriel berkata, laman web itu akan membolehkan orang ramai menghantar gambar penjawat awam serta keluarga mereka yang hidup di luar kemampuan, sekali gus membantu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menentukan sama ada individu terbabit perlu disiasat kerana mempunyai “kekayaan luar biasa”.

Ketika melancarkan laman web itu, beliau berkata, sejak Dzulkifli dilantik sebagai ketua pesuruhjaya SPRM, badan antirasuah itu mencatatkan 24 kes, termasuk beberapa kes berprofil tinggi seperti Jabatan Air Negeri Sabah dan skandal penukaran status tanah di Johor.

Malangnya, kata beliau, orang ramai tidak terbabit dalam perjuangan menentang rasuah itu.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/05/13/c4-ajak-rakyat-dedah-kekayaan-luar-biasa-ahli-politik-penjawat-awam/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/01/27/ketua-sprm-ada-satu-perkataan-kepada-ahli-politik-korup/