Kok: Siasat laporan mengenai buli, seks luar tabii di UPNM

Kok: Siasat laporan mengenai buli, seks luar tabii di UPNM

Menteri Datuk Seri Hishammuddin Hussein perlu menyiasat dakwaan buli, seks oral dan liwat kejadian biasa di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.

teressa-hishamudin1
PETALING JAYA: Teresa Kok menyeru Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein supaya menjalankan siasatan ke atas dakwaan buli, seks oral dan liwat kejadian biasa di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Naib Pengerusi DAP itu bimbang laporan yang mendakwa “budaya” dera dalam kalangan kakitangan tentera diamalkan sejak zaman penjajah British untuk mengajar askar supaya menyerah dan patuh kepada pemimpin mereka.

Merujuk laporan Malaysia Gazette 5 Jun, beliau berkata seorang bekas pensyarah dipetik portal itu mengatakan “budaya” itu menyebabkan kematian kadet UPNM Zulfarhan Osman Zulkarnain.

Apa yang lebih mengejutkan sumber itu mendakwa pernah mendengar aduan dan kes melibatkan liwat, seks oral dan pukul semasa berkhidmat di universiti itu.

“Pendedahan bekas pensyarah itu perlu disiasat sepenuhnya,” kata Teresa, dalam kenyataan hari ini.

“Saya menyeru Datuk Hishammuddin supaya menjalankan siasatan penuh ke atas dakwaan buli, seks oral dan liwat kejadian biasa di UPNM.”

Zulfarhan, 21, diisytiharkan mati di Hospital Serdang pada 1 Jun selepas beberapa rakan menghantarnya ke hospital dengan kesan lebam dan lecur pada 80% badannya.

Beliau didakwa diikat dan dipukul kerana sebuah komputer riba, dan dilaporkan didera rakan seuniversiti dengan tali pinggang, hos getah, besi dan penyangkut baju pada 20 dan 21 Mei.

Polis menahan 36 pelajar dari 2 universiti awam pada malam itu juga untuk disiasat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor SAC Fadzil Ahmat dilaporkan berkata 32 pelajar itu dari UPNM sementara yang lain dari Universiti Tenaga Nasional (Uniten), berusia antara 20 dan 21.

Siasatan dilakukan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Rakyat tertanya bagaimana penderaan fizikal terhadap Zulfarhan boleh berlaku tanpa disedari,” katanya.

“Ramai tidak boleh percaya tragedi dan keganasan itu boleh berlaku di sebuah universiti,” tambahnya.

Pada 8 Jun, Hishammuddin mengumumkan penubuhan sebuah unit khas untuk melapor perkara berkaitan kematian Zulfarhan secara terus kepadanya.

Unit itu, diketuai Penglima Angkatan Tentera Malaysia Jen Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Nor merupakan langkah tambahan kepada lembaga inkuiri yang ditubuhkan sebelum itu dan siasatan polis yang sedang berjalan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.