Penduduk nekad pertahan ladang getah walau berdepan tangkapan

gatco-1-1-1PETALING JAYA: Walaupun 28 rakan mereka ditahan polis semalam, sekumpulan penduduk di sebuah kampung di Bahau, Negeri Sembilan berikrar menghalang sebuah pemaju daripada memusnahkan beribu-ribu ekar tanaman pokok getah walaupun kes itu masih belum diselesaikan di mahkamah.

Peneroka, John Cantious, memberitahu FMT mereka yakin percaya tindakan syarikat Thamrai Holdings menyalahi undang-undang.

“Kami perlu terus menghalang mereka daripada memasuki walaupun polis menahan kami semua,” katanya.

Cantious berkata peneroka cuba menjelaskan kepada polis yang kes masih berterusan di mahkamah dan mendakwa syarikat itu tidak berhak menebang mana-mana pokok yang terdapat di kawasan tanah seluas 4,700 ekar itu.

“Kes itu masih tertangguh di mahkamah, jika kita menang kes berikutnya, siapa yang akan bertanggungjawab terhadap pokok yang kami tanam dan memelihara?”gatco-2

Peneroka mula mengambil tindakan undang-undang pada 2013 apabila mereka menyaman Thamrai berhubung isu tanah itu.

Tanah itu dipajak pada 1977 oleh kerajaan negeri melalui Perbadanan Pembangunan Ekonomi Negeri Sembilan (SEDC) kepada Great Alonioners Trading Corporation Bhd, syarikat pelaburan melibatkan lebih 400 penduduk untuk memajukan ladang getah.

Tanah itu ditukar oleh Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Ladang (NUPW), yang memiliki Gatco, kepada skim tanah untuk para ahlinya, di mana masing-masing membayar RM7,600 sebagai deposit sebelum bekerja di tanah itu.

Skim itu bagaimanapun gagal dan Gatco terpaksa membuat pinjaman daripada 2 syarikat kewangan.
Gatco diisytiharkan muflis pada 1996, dan pada 2006, Thamarai membeli tanah itu selepas menjalani proses penyelesaian, tindakan yang kemudian dicabar oleh peneroka.

Percubaan mereka ditolak Mahkamah Tinggi. Mahkamah Rayuan, dalam menyemak semula keputusan itu pada 2014, mengarahkan tuntutan mahkamah itu dibicarakan semula. Keputusan Mahkamah Tinggi memihak kepada Thamrai.gatco-1

November lepas, peneroka memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak tuntutan mendapatkan tanah yang dipertikaikan itu.

Mahkamah dijangka mendengar rayuan peneroka mendapatkan perintah injunksi pada 25 Julai.

Semalam, 28 peneroka termasuk 10 wanita direman 3 hari kerana menyekat jalan menuju ke kampung.

Aktivis PSM, S Arutchelvan berkata reman itu tidak diperlukan kerana kebanyakan mereka yang ditahan adalah warga emas.

“Polis memohon reman 4 hari tetapi diberi 3. Reman 3 hari untuk orang yang berusia 60 tahun ke atas tidak masuk akal,” katanya kepada FMT.

Sementara itu, peneroka mendakwa 28 rakan mereka tidak dilayan dengan baik ketika dalam tahanan.

Arutchelvan memberitahu FMT, ramai di kalangan mereka merupakan warga tua, dan mereka cuma diberi makan roti dan air.