‘Kerajaan perlu gesa Petronas henti pelaburan di Myanmar’

‘Kerajaan perlu gesa Petronas henti pelaburan di Myanmar’

Raja Kamarul Bahrin berkata, syarikat minyak nasional itu belum bertindak balas terhadap satu petisyen dikemukakan 47 ahli Parlimen pada 8 November lalu.

raja-bahrin-2
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin menggesa kerajaan memberi tekanan kepada Petronas menarik pelaburan di Myanmar sebagai bantahan terhadap dakwaan pembunuhan beramai-ramai etnik Rohingya di Rakhine.

Pengerusi Amanah Terengganu itu mengadu syarikat minyak nasional berkenaan belum bertindak balas terhadap satu petisyen yang dikemukakan kepadanya hampir 2 minggu lalu.

Petisyen yang ditandatangani 47 ahli Parlimen itu meminta Petronas “melepaskan mana-mana dan semua penyertaan dalam sebarang bentuk operasi di Myanmar” mulai tahun depan, kecuali Myanmar “mengiktiraf etnik minoriti Rohingya sebagai warganegara sah Myanmar dan segala bentuk intimidasi, penguasaan, diskriminasi dan jenayah terhadap mereka dihentikan segera”.

Raja Kamarul juga menggesa Putrajaya membenarkan isu itu dibincangkan dalam Parlimen.

“Kerajaan kata ia lantang mengenai isu itu, tetapi ia tidak benar-benar komited kepadanya. Jelaskan kenapa kita tidak boleh berbincang mengenainya di Parlimen.”

Pembangkang meminta isu itu dibahaskan dalam Parlimen sejak akhir tahun lalu.

Raja Kamarul mengulas laporan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membangkitkan isu itu kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan Penasihat Negara Myanmar, Aung San Suu Kyi pada Sidang Kemuncak Asean di Manila, baru-baru ini.

Beliau mencabar Najib membuktikan keikhlasannya dengan mengusulkan perbahasan isu itu di Dewan Rakyat dan memberi tekanan kepada Petronas untuk menghentikan pelaburan di Myanmar.

Beliau menyatakan laporan baru-baru ini sebuah syarikat gergasi minyak AS, Chevron menggesa kerajaan Myanmar menghormati hak etnik Rohingya.

“Begitu juga dengan kerajaan kita perlu mula menangani isu ini dengan lebih tegas daripada sekadar bercakap sahaja.”

Ahli Parlimen Kapar, G Manivannan turut menggesa Putrajaya bertindak lebih berani untuk menjadikannya isu khusus pada agenda Sidang Kemuncak Asean akan datang.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad juga sependapat.

“Pada Sidang Kemuncak Asean, perlu ada usaha untuk mengemukakan isu itu dan memutuskan apa yang perlu dilakukan untuk menghentikan operasi pembersihan etnik itu.”

Beliau bagaimanapun mengakui tidak adil untuk menuduh kerajaan tidak bertindak.

“Kerajaan sedang memainkan peranannya, tetapi ia mungkin boleh melakukan lebih banyak lagi,” katanya sambil menambah, meminta Petronas keluar dari Myanmar ialah langkah baik.

47 ahli Parlimen desak Petronas tarik pelaburan sehingga Myanmar iktiraf Rohingya

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.