Abang Johari: BN harus menang untuk kembalikan hak Sarawak

Abang Johari: BN harus menang untuk kembalikan hak Sarawak

Katanya, BN boleh memenangi kerusi jika semua parti komponen amalkan dasar inklusif dan bekerja keras supaya rakyat tahu mereka bersatu.

penyokong-bn
SIBU: Parti komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak mesti cuba untuk sekurang-kurangnya menawan semula beberapa kerusi daripada pembangkang jika tidak semua pun, 31 kerusi parlimen pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata ini untuk membolehkan kerajaan negeri menggunakan kuasanya mengukuhkan tuntutan Sarawak berhubung hak minyak dan gas, sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk mendapatkan semula hak dan kuasa bawah Perjanjian Malaysia 1963.

“Kita harus kuat di parlimen. Kita mesti cuba seberapa boleh untuk memenangi 31 kerusi. Jika kita tidak dapat memperoleh 31 kerusi, sekurang-kurangnya kita menawan kembali beberapa kerusi dari DAP,” kata beliau.

Beliau berkata memenangi kerusi bukan untuk kepentingan semua parti komponen terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak dan Parti Demokratik Progresif (PDP) tetapi untuk kepentingan rakyat di Sarawak.

Abang Johari yang juga pengerusi BN Sarawak berkata demikian pada acara sambutan Tahun Baru Cina anjuran SUPP Sibu di Pusat Sivik Sibu hari ini.

Pada PRU13, DAP menang 5 kerusi iaitu Bandar Kuching, Stampin, Sarikei, Lanang, Sibu sementara Parti Keadilan Rakyat (PKR) memenangi kerusi Miri yang mana kebanyakannya kerusi kawasan masyarakat Cina di bandar.

Menurut Ketua Menteri, BN boleh memenangi kerusi tersebut jika semua parti komponen mengamalkan dasar inklusif dan bekerja keras supaya rakyat tahu mereka bersatu dan kerja keras.

Ini terbukti apabila BN melalui SUPP memenangi kerusi Batu Kitang dan Batu Kawa, kawasan pilihan raya negeri yang digambarkan sebagai kawasan hitam pada 2016.

Abang Johari berkata, tiada siapa boleh memperjuangkan hak Sarawak melainkan anak jati Sarawak sendiri dan tidak seperti pembangkang, presiden parti komponen BN di negeri ini ialah anak tempatan Sarawak.

“Siapa presiden DAP? Berapa ramai anak Sarawak menjadi anggota Jawatankuasa Kerja Pusatnya? Hanya seorang…bagaimana untuk berjuang menuntut hak Sarawak?” katanya.

Mengenai SUPP, beliau berkata presiden parti Prof Datuk Dr Sim Kui Hian berjaya memulihkannya menjadi parti kuat seperti dahulu.

Ahli parti mesti mengenepikan perbezaan pendapat dan menyokong penuh kepimpinan Dr Sim untuk membolehkan parti tersebut memenangi kerusi dalam PRU14, katanya.

Mengenai pembangunan Sibu pula, Abang Johari berkata ia boleh ditransformasi menjadi kawasan lebih baik, setanding bandar-bandar besar lain di Sarawak jika berada dalam BN.

“Anda harus kuat dan mendapat sokongan penuh rakyat supaya dapat membendung hasutan sesetengah pihak yang mungkin menggangu rancangan mengubah wajah Sibu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.