Polis tahan Siti Kasim kerana ‘culik’

Siti Kasim sedang berbalah dengan seorang pegawai polis. (Tangkap layar video Facebook)

KUALA LUMPUR: Polis menahan peguam hak asasi manusia Siti Kasim, beberapa jam selepas anggota memasuki rumahnya kerana satu laporan yang mendakwa dia mengurung seorang perempuan secara paksa.

“Polis memasuki rumahnya sekitar makam malam,” kata sumber kepada FMT.

Sumber berkata Siti ditahan di ibu pejabat polis Kajang.

Dia ke sana untuk mengetahui mengapa rumahnya dimasuki polis.

Difahamkan anak guam Siti, seorang perempuan berusia 20-an, diambil polis, selepas ibunya membuat aduan tentang keadaan akidah anaknya.

Terdahulu Siti berkata perempuan itu, yang mendakwa didera ibunya, “diculik” polis dan pihak berkuasa agama di Selangor.

Video di Facebook memaparkan Siti di balai polis, menuntut anak guamnya dibebaskan. Kedengaran suara seorang perempuan menafikan dia diculik Siti.