Rais gesa bentang intisari UEC untuk lihat percanggahan

Rais Yatim berkata tiada keperluan mendedah untuk menyegerakan pengiktirafan UEC. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Ahli politik veteran Tan Sri Rais Yatim menegur pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad kerana tergesa-gesa mahu mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), salah satu daripada janji manifesto pilihan raya Pakatan Harapan.

Bekas penasihat sosiobudaya kepada kerajaan itu berkata pemerintah sepatutnya membentangkan intisari sukatan pelajaran UEC kerana rakyat belum jelas tentang sijil sekolah menengah Cina persendirian itu.

Hanya terdapat 60 sekolah menengah Cina persendirian di Malaysia dengan sebahagian besar di Perak (9), Johor (9), Sabah (9) dan Sarawak (14).

“Menteri tidak wajarlah kata mentang-mentang UEC sudah jadi manifesto parti maka rakyat jelata ikut sahaja. Eloklah bentang dahulu intisari UEC,” katanya di Twitter hari ini.

Beliau juga meminta pemerintah menjelaskan apakah sekarang ini NGO pula yang mentadbir isi kandungan sukatan pelajaran, dan apa yang akan kerajaan lakukan jika didapati UEC bercanggah dengan akta.

“Bagaimana tentang kemungkinan bercanggah dengan Akta Pelajaran,” katanya, dan menambah tiada keperluan mendesak untuk menyegerakan pengiktirafan sijil kontroversi itu.

“Harga minyak belum turun, UEC pulak dulu,” katanya.

Terdahulu, Menteri Pendidikan Maszlee Malik berkata pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad akan memenuhi janji mengiktiraf UEC sebagai sijil kemasukan yang sah ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Cadangan itu dibantah beberapa pemimpin Umno seperti Naib Presiden Umno Datuk Seri Mahdzir Khalid yang menyarankan pengiktirafan UEC mesti mengambil kira 2 syarat am, iaitu “Kepujian” dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan “Lulus” mata pelajaran Sejarah dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Dua persatuan pendidikan Cina, Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jia Zong) menafikan sekolah-sekolah menengah Cina persendirian yang mengguna pakai UEC mengabaikan penguasaan bahasa kebangsaan kerana setiap sekolah mempunyai kelab Bahasa Melayu.

Mereka juga menolak dakwaan mengatakan sukatan pelajaran UEC diambil dari Taiwan sebagai “tidak benar”, kerana sejarah Malaysia turut diajar kepada para pelajar.

UEC adalah peperiksaan seragam untuk pelajar di 60 sekolah menengah Cina di seluruh negara, sejak 1975, dengan sukatan pelajaran dibangunkan Dong Zong, apabila sekolah Cina tidak mahu menerima pakai bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Lepasan UEC tidak boleh melanjutkan pelajaran di universiti kerajaan dan bekerja di sektor awam negara ini kerana UEC tidak diiktiraf kerajaan persekutuan.

Bagaimanapun, kerajaan Sarawak mengiktiraf sijil itu yang bermakna lepasan UEC boleh mencari pekerjaan dalam sektor awam negeri, memasuki kolej dan universiti milik negeri serta memohon pinjaman pendidikan Yayasan Sarawak.

Selangor turut menerima kemasukan lepasan UEC ke universiti milik negeri, manakala Pulau Pinang pula mengambil lepasan UEC bekerja dengan syarikat milik kerajaan negeri.

Pelajar UEC kuasai bahasa kebangsaan di sekolah, kata persatuan Cina

Malaysia bercelaru jika iktiraf UEC, kata Pemuda Umno