
Mohd Saleem Muhammad Aslam, bapa kepada Raheel Khan Mohd Saleem, 6, dan adiknya Aleya Reyhana Khan, 4, mendesak polis dan pihak atasan mengesan di mana anaknya berada sekarang.
“Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya dan IPD KLIA mempunyai status laporan polis yang bercanggah antara satu sama lain. Satu mengatakan anak saya sudah berada di luar negara dan satu laporan lagi mengatakan anak saya di luar negara tetapi ibu masih di Malaysia.
“Saya amat keliru dengan laporan ini. Jika bekas isteri masih di Malaysia, saya risau tentang keselamatan mereka berdua. Saya dan keluarga telah membuat siasatan sendiri kerana pihak atasan tidak banyak membantu.
“Jika bekas isteri masih di Malaysia, di mana mereka? Kerana sehingga kini saya masih tidak mendapat apa-apa berita dari pegawai penyiasat,” katanya pada sidang media hari ini.
Awal Mac lalu dilaporkan 2 beradik itu dipercayai dilarikan 3 individu, seorang daripadanya wanita, kira-kira 9 pagi dengan alasan ingin membawa mereka menjalani pemeriksaan kesihatan.
Polis bagaimanapun mengesahkan tiada sebarang unsur jenayah dalam kehilangan 2 beradik itu.
Peguam Mohd Saleem, Muhamad Akmal Arif Shamsul Kahar berkata, terdapat beberapa persoalan yang ingin pihaknya tanya kepada imigresen berhubung kanak-kanak itu dikatakan telah keluar negara mengikut ibu kandungnya.
“Bapa kepada 2 anak ini banyak persoalan kepada imigresen. Bagaimana seorang anak yang lahir di Malaysia boleh menggunakan pasport asing untuk ke luar negara bersama ibu? Sedangkan surat beranak semua dengan ayah kandung. Jika benar anak tersebut keluar negara lain pada hari mereka hilang bersama ibu dan 2 lelaki tidak dikenali, mengapa IPD Petaling Jaya mengatakan mereka masih di Malaysia?
“Adakah mereka memang boleh dibawa keluar tanpa dokumen yang sah kerana bekas isteri tidak mendapat hak penjagaan anak? Saya sebagai peguam kepada kes ini ingin penjelasan jelas dari pihak atasan dan mencari anak ini demi keselamatan mereka,” katanya.
Beliau berkata, anak guamnya berharap kerajaan baharu Pakatan Harapan dapat melihat kes ini dengan lebih serius dan sudah bertemu dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin tetapi menteri dalam negeri itu sedang mendapatkan rawatan kini.
“Kerajaan baharu sekarang sudah telus dan kami memohon untuk bertemu dengan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi membincangkan tentang kes ini.
“Ia tidak boleh didedahkan secara terbuka kerana ia adalah sulit dan perlu diselesaikan secepat mungkin kerena mereka sudah hilang selama 4 bulan.”
Polis: 2 beradik diambil ibu kandung, bukan dilarikan dari tadika