Peguam Najib: Tiada kaitan tuduhan baru, Equanimity

Muhammad Shafee Abdullah tidak tahu jika ia hanya kebetulan Equanimity tiba di Malaysia semalam, kurang 24 jam Najib Razak dihadapkan ke mahkamah atas 3 pertuduhan baru pengubahan wang haram.

KUALA LUMPUR: Peguam mewakili Datuk Seri Najib Razak menafikan 7 pertuduhan jenayah yang dihadapi bekas perdana menteri itu ada kaitan dengan 1MDB atau rampasan kapal layar mewah Equanimity.

Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, beliau tidak tahu jika ia hanya kebetulan Equanimity memasuki perairan Malaysia semalam, kurang 24 jam anak guamnya dihadapkan ke mahkamah atas 3 pertuduhan baru pengubahan wang haram.

“Saya tidak tahu kenapa ia dilakukan minggu ini. Mungkin ia dilakukan untuk mengelirukan isu itu,” katanya di luar mahkamah.

Beliau berkata, semua 7 pertuduhan itu dikaitkan dengan SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB.

Polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Masih menyiasat 1MDB yang kini di bawah Kementerian Kewangan.

Equanimity yang menjadi tumpuan siasatan Amerika Syarikat (AS) ke atas skandal rasuah 1MDB, berlayar dari Pelabuhan Tanjung Benoa di Bali ke Pulau Batam dan tiba di Pelabuhan Klang, semalam.

Kerajaan Indonesia yang menyita kapal layar mewah itu atas permintaan AS Februari lalu, dipercayai memutuskan untuk menyerahkannya kepada Malaysia susulan kunjungan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke Jakarta, Jun lalu.

Hari ini, Najib mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas 3 pertuduhan menerima wang berjumlah RM42 juta hasil daripada aktiviti haram milik dana SRC International, dalam 2 akaunnya 4 tahun lalu.

Pada 4 Julai lalu, Najib mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap 3 pertuduhan pecah amanah dan 1 pertuduhan salah guna kuasa membabitkan dana berjumlah RM42 juta milik SRC International.

 

Kapal layar mewah tiba di Malaysia